close
Pergi ke kandungan

UNIC

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
UNIC
AsalMalaysia Malaysia
GenreNasyid
Tahun aktif2002-kini
Syarikat rakamanHijjaz Records (2002-2009)
NAR Records (2002)
EMI (2003-2007)
Warner Music Malaysia (2008-2009)
UNICDOTMY Pro (2010-kini)
Anggota semasaFitri Haris
Bazli Hazwan
Fakhrul Radhi
Bekas anggotaHafiz Hamidun
Fadzli Aziz
Wan Shah
Apen
Alan
Najdi[1][2]
Pautan berkaitan
Pautan lainSpotify: 7IUkoUN4DEm9OOKTgH5Oim MusicBrainz: b8fb0d58-325d-4d1f-b7bb-39fa21780781
Facebook: unicofficials X: unicofficials Instagram: unicofficials YouTube: UC0Fq9qaJ50wxu8XLmN-i-NQ TikTok: unicofficials Sunting nilai ini di Wikidata
sunting · sunting di Wikidata
Lihat pendokumenan templat ini
Lihat pendokumenan templat ini

UNIC ialah sebuah kumpulan nasyid yang terkenal di Malaysia.[3] Kumpulan UNIC merupakan salah satu kumpulan nasyid yang bernaung di bawah syarikat rakaman Hijjaz Records Sdn Bhd selain In-Team (kini Inteam), Ae-man dan juga Mestica. Album pertama mereka berjudul You And I See dikeluarkan pada 2002,[4] telah mencatatkan jualan melebihi 40,000 unit di seluruh Malaysia. Berdasarkan sambutan yang diberikan oleh peminat nasyid, sehingga kini UNIC telah bertahan selama 23 tahun dalam persada seni dan telah berjaya menerbitkan lapan buah album studio dan enam album kompilasi.[5]

Sejarah Awal

[sunting | sunting sumber]

Kumpulan UNIC telah ditubuhkan pada tahun 2001 oleh tiga orang remaja yang bersekolah di negeri Johor iaitu Fitri, Bazli dan Wan Shah. Pada ketika itu, Fitri dan Bazli sama-sama belajar di SMKA Bandar Penawar, Kota Tinggi sementara Wan Shah pula bersekolah di Bandar Baru Uda, Johor Bahru.

Segalanya bermula setelah Fitri bersahabat dengan Wan Shah semasa mereka menyertai pertandingan nasyid mewakili kumpulan masing-masing di peringkat negeri Johor. Kebetulan, Wan Shah telahpun berkenalan dengan salah seorang staf Hijjaz Music Entertainment dan sering mendapat cenderamata dari Hijjaz. Atas pelawaan daripada staf itulah, Wan Shah mahu membentuk kumpulan nasyid remaja dan mula mengajak Fitri untuk mencuba nasib menjadi artis rakaman. Fitri kemudiannya membawa masuk Bazli untuk membentuk kumpulan nasyid seperti yang diinginkan oleh Wan Shah. Bermula dari situlah, Fitri dan Bazli akan pergi ke rumah Wan Shah pada setiap hujung minggu untuk sesi latihan nasyid.

Setelah tamat SPM pada tahun 2001, mereka bertiga sepakat untuk pergi ke pejabat Hijjaz Music Entertainment di Kuala Lumpur dan menginap di rumah salah seorang staf Hijjaz. Dalam usaha mereka untuk menarik perhatian pihak pengurusan, mereka datang ke pejabat Hijjaz Records selama tiga hari berturut-turut sehinggalah Faizal Hijjaz dan pengurus Hijjaz iaitu Encik Hashim Ngadiman menyedari kesungguhan mereka dan menawarkan mereka ke sesi uji bakat. Seminggu kemudian, mereka terus sahaja ditawarkan untuk menjadi artis rakaman Hijjaz Music Entertainment memandangkan pada ketika itu mereka hendak mencari pelapis-pelapis baharu yang terdiri daripada kalangan remaja. Pihak pengurusan telah memberi tempoh kepada mereka untuk mempelajari dan meneliti kontrak tersebut sebelum menjadi artis rakaman. Dua minggu kemudian, mereka bertiga akhirnya menerima tawaran tersebut dan sentiasa bermulalah karier mereka dalam industri nasyid tanah air.

Perjalanan Karier

[sunting | sunting sumber]

2001-2002 : Afendi Pelengkap UNIC & Album "You And I See"

[sunting | sunting sumber]

Setelah mereka menjadi artis rakaman Hijjaz Records secara rasmi, mereka yang pada ketika itu bergerak tanpa nama kumpulan telah mencari dan menghasilkan material untuk album pertama bersama kumpulan Hijjaz. Namun begitu, masalah mula timbul apabila mereka bergerak hanya tiga orang sedangkan pihak pengurusan mahukan mereka sebagai kumpulan empat ahli. Atas cadangan pihak pengurusan, mereka kemudiannya dilengkapkan dengan kemasukan Apen yang kebetulan bekerja dengan Hijjaz Music Entertainment setelah tamat SPM. Mereka berempat kemudiannya memulakan proses rakaman untuk album pertama mereka dan pada ketika itulah Hijjaz telah memberi nama UNIC kepada kumpulan yang dianggotai oleh empat orang remaja ini. Nama UNIC berasal daripada singkatan "You And I See" mengikut sebutan huruf di mana ia juga merupakan judul salah satu lagu mereka yang dimuatkan dalam album tersebut. Setelah beberapa ketika, proses rakaman tersebut akhirnya siap dan terhasillah album pertama mereka yang menggunakan nama You And I See sebagai judul album. Album ini diterbitkan oleh Hijjaz Records dan diedarkan oleh NAR Records. Menariknya, Wan Shah turut menyumbangkan lagu ciptaannya sendiri iaitu Anak Soleh dalam album ini.

Berbekalkan lagu hit Hanya Tuhan Yang Tahu[6], mereka tidak mengambil masa yang lama untuk meraih populariti. Bukan itu sahaja, lagu Hanya Tuhan Yang Tahu juga turut popular dalam carta muzik Era FM pada ketika itu. Nama UNIC kemudiannya terus menjadi sebutan para peminat nasyid tambah-tambah lagi dengan imej mereka yang sentiasa memakai jaket dan berkopiah pada ketika itu. Populariti mereka yang semakin meningkat itu menjadikan mereka antara kumpulan nasyid yang sering mendapat undangan untuk membuat persembahan di sekolah-sekolah dan juga universiti.

2003 : Pengunduran Afendi, Penyertaan Hafiz Hamidun & album See You Di IPT

[sunting | sunting sumber]

Setelah lebih kurang setahun UNIC menghasilkan album pertama mereka, mereka terus mengorak langkah dengan menghasilkan material untuk album kedua. Namun, UNIC mula dilanda ujian apabila Apen meninggalkan kumpulan sebelum rakaman berlangsung. Tempat Apen kemudiannya digantikan oleh Hafiz yang ketika itu menuntut di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). Hafiz sebelum itu pernah mengadakan persembahan bersama UNIC memandangkan pada ketika itu UNIC kerap membuat persembahan di seluruh negara dan ada ketikanya anggota asal UNIC tidak dapat turut serta atas sebab-sebab tertentu.

Namun, penyertaan Hafiz dalam UNIC bukannya mudah kerana beliau perlu melalui tempoh percubaan selama tiga bulan oleh Hijjaz Records sebelum diserap sebagai anggota kekal. Akhirnya, Hafiz berjaya mengharungi tempoh percubaan selama tiga bulan dengan baik sekaligus melengkapkan anggota UNIC yang sedia ada untuk merakamkan album kedua. Pada tahun 2003, UNIC berjaya menghasilkan album kedua yang diberi judul See You Di IPT. Album kedua UNIC ini diterbitkan oleh Hijjaz Records dengan kali ini diedarkan oleh syarikat rakaman terkemuka, EMI setelah kontrak kerjasama Hijjaz Records dengan NAR Records tamat sebelum proses rakaman album kedua UNIC berlangsung.

Berbekalkan lagu hit Remaja, Ke Makam Bonda, Demi Cinta Suci dan Zinnirah, album ini sekali lagi mendapat tempat di hati peminat nasyid dan mencatatkan jualan yang membanggakan. Lagu judul album ini, See You Di IPT juga mendapat sentuhan daripada anggota UNIC iaitu Wan Shah bersama dengan Isman Hijjaz dan salah seorang staf Hijjaz yang bernama Atie. Album ini juga menjadi titik tolak kepada penghasilan telemovie yang juga berjudul See You Di IPT yang dikeluarkan pada tahun 2004 di mana telemovie ini menampilkan anggota UNIC itu sendiri, Bell Ngasri (ketika itu dikenali sebagai Nasrizal Ngasri), Bienda dan ramai lagi.

2004-2005 : Pengunduran Wan Shah, Penyertaan Fadzli Aziz & Album Satu Tekad

[sunting | sunting sumber]

Sepertimana yang berlaku sebelum menghasilkan album See You Di IPT, skrip yang sama berulang kembali pada tahun 2004 apabila pengasasnya, Wan Shah tidak dapat memberikan sepenuh komitmen bersama UNIC. Untuk mengisi kembali posisi yang ditinggalkan Wan Shah, pihak pengurusan telah membawa masuk Fadzli yang juga pernah mengadakan persembahan bersama UNIC sebagai "sessionist". Dengan barisan baharu ini, UNIC kemudiannya muncul dengan album ketiga iaitu Satu Tekad yang dikeluarkan pada tahun 2005, di bawah terbitan Hijjaz Records dan edaran oleh EMI.

Album Satu Tekad boleh dikatakan sebagai album terbaik yang pernah dihasilkan oleh UNIC. Ini kerana banyak lagu mereka dalam album ini hit dan menjadi siulan ramai, antaranya Satu Tekad, Insan Bernama Kekasih, Balqis, Sekolahku dan Erti Syukur (menampilkan Razin Mestica). Lagu Cahaya Cinta yang turut terkandung dalam album ini merupakan lagu ciptaan salah seorang anggota UNIC iaitu Hafiz bersama dengan Frizdan.

2006-2007 : Pengunduran Hafiz, album Tika Itu & Penyertaan Alan

[sunting | sunting sumber]

Pada tahun 2006, anggota UNIC telah berkurang menjadi tiga orang setelah Hafiz mengambil keputusan untuk bergerak secara solo dan tidak menyambung kontraknya bersama Hijjaz Records. Lebih kurang setahun selepas itu, UNIC telah menghasilkan album ketiga mereka yang berjudul Tika Itu pada tahun 2007. Tidak seperti album mereka yang sebelum ini, album ini cuma memuatkan lapan lagu sahaja dan antaranya ialah Atas Nama Cinta, Lafaz Yang Tersimpan, Mencari Yang Maha Satu (menampilkan Cat Farish) dan Kau, Kawan, Sahabat Dan Teman. Tidak lama selepas itu, UNIC menerima anggota baharu dengan kemasukan bekas anggota kumpulan Rast bernama Syed Mohd. Azlan bin Syed Amirruddin (Alan). UNIC kemudiannya menampilkan Alan dalam versi VCD untuk album Tika Itu. Album ini juga masih mendapat tempat di hati peminat walaupun pada ketika itu industri nasyid dilihat semakin suram dengan kemunculan kumpulan muzik yang membawa genre baharu.

2009 : Album Langkah Tercipta, Pengunduran Fitri & Penyertaan Fakhrul

[sunting | sunting sumber]

Pada tahun 2009, UNIC telah menghasilkan sebuah album kompilasi yang diberi judul Langkah Tercipta. Dalam album ini, UNIC memuatkan lagu-lagu popular mereka sejak dari tahun 2002 di samping memuatkan empat lagu baharu iaitu Bicara Tentang Cinta, Jalan Pulangku, Hanyut dan Langkah Tercipta.

Album ini merupakan album yang amat signifikan pada UNIC kerana banyak peristiwa yang berlaku selepas penghasilan album ini, antaranya ialah album ini merupakan album terakhir UNIC di bawah label Hijjaz Records. Album ini juga merupakan album pertama UNIC yang menampilkan Juara Akademi Al-Quran musim ketiga, Mohd Fakhrul Radhi bin Khamarudin (Fakhrul) sebagai ahli baru UNIC dan album ini adalah album terakhir Fitri bersama UNIC sebelum bergerak solo selepas itu.

2010-2022 : UNIC Kekal Bertiga, UNIC Bergerak Sendiri, Pengunduran Fadzli (2015), REUNIC 1.0 (2017) & Perkembangan Terkini

[sunting | sunting sumber]

Selepas album Langkah Tercipta diterbitkan, UNIC telah menamatkan kontrak mereka dengan Hijjaz Records pada awal tahun 2010 setelah lapan tahun bersama. Namun begitu, Alan telahpun meninggalkan UNIC untuk fokus pada kerjaya beliau di belakang tabir dan bermulalah karier UNIC yang bergerak hanya tiga orang sahaja iaitu Bazli, Fadzli dan juga Fakhrul. Mereka bertiga kemudiannya menubuhkan syarikat mereka sendiri iaitu UNIC Records[7] (kini UNIC Dot My Pro) pada tahun 2010. Tujuan penubuhan syarikat ini adalah untuk memenuhi kehendak pasaran dalam bidang penerbitan album, buku dan bahan‐bahan yang berbentuk pendidikan untuk segenap lapisan masyarakat dan juga berfungsi sebagai pengedar kepada produk‐produk UNIC Records dan pelanggan UNIC.

UNIC terus bergerak maju bersama dengan dua buah lagi syarikat yang diuruskan mereka sendiri iaitu UNIC Nasyeed and Training Consultant (UNTC) dan UNIC Biotrade.[8][9] Setiap syarikat yang ditubuhkan mempunyai fungsi tersendiri dalam usaha mereka menyampaikan dakwah kepada masyarakat.

“Hiburan Berilmu Rohani Terpandu” menjadi slogan mereka. Misi UNIC Records adalah untuk meneroka, berkembang dan menjalankan usaha dakwah menerusi bidang‐bidang yang diceburi selaras dengan kemajuan dan perkembangan negara.

Namun pada awal tahun 2015, UNIC sekali lagi berkurang seorang anggota apabila Fadzli mengambil keputusan untuk meninggalkan UNIC kerana ingin fokus kepada kerjaya beliau seorang konsultan dan penceramah motivasi. Pengunduran Fadzli menjadikan UNIC kekal dengan dua anggota iaitu Bazli dan Fakhrul. Namun pada bulan September 2016, UNIC telah mengumumkan Wan Najdi bin Wan Mohd Noh atau Imam Muda Najdi sebagai ahli baru mereka. Najdi sebelum itu telah mengikuti aktiviti UNIC sejak tahun 2015 lagi seperti konsert amal dan lain-lain. UNIC mengumumkan ahli terbaru mereka melalui media sosial Instagram, Facebook dan Twitter UNIC.

Pada April 2017, UNIC adalah antara peserta yang telah berentap menerusi program terbaharu iaitu Gema Gegar Vaganza (GGV) yang mengangkat lagu ketuhanan sebagai konsep pertandingan. Mereka telah mempersembahkan lagu Hanya Tuhan Yang Tahu pada minggu pertama. Pada konsert akhir Gema Gegar Vaganza (GGV), UNIC telah mempersembahkan lagu pertama mereka iaitu Ainul Mardiah dan lagu kedua battle bersama kumpulan Saujana mempersembahkan lagu Kalah Dalam Menang. Melalui persembahan akhir tersebut UNIC telah dinobatkan sebagai Juara untuk Gema Gegar Vaganza 2017 dengan hadiah kemenangan sebanyak RM 100,000 dan trofi.

Pada tahun yang sama, UNIC telah mengadakan konsert REUNIC di mana UNIC bergabung semula dengan bekas-bekas anggotanya iaitu Hafiz Hamidun, Fitri Haris dan Fadzli Aziz di atas satu pentas. Biarpun projek khas ini tidak dapat disertai oleh tiga lagi bekas anggota UNIC iaitu Wan Shah, Afendi dan Alan, konsert REUNIC yang diadakan di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) ini mendapat sambutan yang sangat memberangsangkan dari para peminat yang sememangnya menantikan projek reunion daripada mereka.

Namun setelah 4 tahun bersama, akhirnya Najdi telah mengundurkan diri pada 10 Jun 2020 di laman sosial Instagramnya. Namun begitu, beliau mengundur diri dari kumpulan tersebut kerana sudah lama tidak mengadakan persembahan di mana-mana acara sejak berlakunya Perintah Kawalan Pergerakkan (PKP) pada 18 Mac 2020 yang lepas. Walau bagaimanapun, pengunduran Najdi tidak mematahkan semangat mereka untuk terus berjuang di dalam dunia seni dan secara tidak langsung kumpulan ini masih dianggotai oleh dua orang yang sama iaitu Bazli dan Fakhrul.

2022-kini : Sirih Pulang Ke Gagang, Fitri Kembali Ke UNIC & REUNIC 2.0

[sunting | sunting sumber]

Ibarat sirih pulang ke gagang, akhirnya pada 6 Julai 2022, UNIC telah mengumumkan ahli ketiga mereka dengan kembalinya salah seorang pengasasnya, Fitri Haris menerusi majlis pelancaran single terbaharu mereka berjudul Fatimah, ciptaan Bazli dan lirik oleh Ahmad Fedtri Yahya. Kembalinya Fitri ternyata menggembirakan peminat-peminat setia mereka yang sememangnya merindui suaranya dan menginginkan Fitri untuk kembali bersatu dengan kumpulan asalnya.

Seterusnya pada 4 Ogos 2022, UNIC berjaya mengadakan perjumpaan bersama bekas-bekas anggota mereka untuk merealisasikan projek REUNIC buat kali kedua. Untuk projek reunion kali ini, kemunculan semula tiga anggota terawal UNIC iaitu Wan Shah,Apen dan Alan telah mendapat respon yang sangat positif daripada peminat-peminat UNIC yang merindui kelibat mereka berdua, tambahan pula mereka tidak dapat bersama dalam projek REUNIC yang pertama pada tahun 2017.

Selain itu, UNIC bersama bekas-bekas anggotanya iaitu Hafiz Hamidun, Fadzli Aziz, Wan Shah, Apen dan Najdi juga sedang dalam proses merakamkan semula lagu yang dipetik dari album kedua mereka iaitu Sebuah Pertemuan sebagai simbolik ulang tahun ke-20 UNIC.

Anggota Kumpulan

[sunting | sunting sumber]

Anggota Terkini

Bekas Anggota

  • Mohd Hafiz bin Hamidun (Hafiz Hamidun) - Anggota UNIC yang diperkenalkan pada tahun 2003 dalam album See You Di IPT, menggantikan Apen yang meninggalkan kumpulan tersebut. Bersama UNIC selama 3 tahun sebelum memulakan karier solo pada tahun 2006. Berasal dari Teluk Intan, Perak.
  • Ahmad Fadzli bin Ab Aziz (Fadzli Aziz) - Anggota UNIC yang diperkenankan dalam album Satu Tekad pada tahun 2005, menggantikan Wan Shah yang tidak dapat memberikan sepenuh komitmen bersama UNIC. Bergerak bersama UNIC selama 10 tahun sebelum meninggalkan kumpulan tersebut pada tahun 2014 untuk menumpukan perhatian kepada kerjaya sebagai kaunselor dan pakar motivasi. Berasal dari Kota Bharu, Kelantan.
  • Wan Sharifuddin bin Wan Hassan (Wan Shah) - Anggota asal dan pengasas UNIC pada tahun 2002 bersama Fitri dan Bazli. Bersama UNIC selama 3 tahun sebelum tempatnya digantikan oleh Fadzli. Berasal dari Bachok, Kelantan dan dibesarkan di Johor Bahru, Johor.
  • Wan Najdi bin Wan Mohd Noh (Najdi) - Mula menganggotai UNIC pada tahun 2016 untuk melengkapkan UNIC sebagai kumpulan tiga ahli. Sempat bersama UNIC selama 4 tahun sebelum mengundurkan pada tahun 2020 kerana pandemik COVID-19. Berasal dari Kota Bharu, Kelantan.
  • Mohd Afendi bin Haji Jahri (Apen) - Mula menganggotai UNIC pada tahun 2002. Bersama UNIC selama setahun sebelum digantikan oleh Hafiz pada tahun 2003. Berasal dari Gombak, Selangor.
  • Syed Mohd. Azlan bin Syed Amirruddin (Alan) - Mula menganggotai UNIC pada tahun 2007 untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Hafiz pada tahun 2006. Sempat bersama UNIC selama 2 tahun sebelum mengundurkan diri pada tahun 2009 untuk menumpukan perhatian kepada kerja-kerja di belakang tabir.

Garis masa

[sunting | sunting sumber]
BERJAYA

Diskografi

[sunting | sunting sumber]

Album Studio

[sunting | sunting sumber]
Tahun Judul Jualan
2002 You And I See 40,000 unit
2003 See You Di IPT
  • Penerbit album : Hijjaz
  • Dikeluarkan : 2003
  • Label : Hijjaz Records
  • Edaran : EMI
2005 Satu Tekad
  • Penerbit album : Hijjaz
  • Dikeluarkan : 2005
  • Label : Hijjaz Records
  • Edaran : EMI
2007 Tika Itu
  • Penerbit album : Hijjaz
  • Dikeluarkan : 2007
  • Label : Hijjaz Records
  • Edaran : EMI
2010 Nur Muhammad
  • Penerbit album : UNIC
  • Dikeluarkan : 2010
  • Label : UNIC Records
2011 Hijrah
  • Penerbit album : UNIC
  • Dikeluarkan : 2011
  • Label : UNIC Records
2012 UNIC Edisi Khas
  • Penerbit album : UNIC
  • Dikeluarkan : 2012
  • Label : UNIC Records
2012 Selawat Relaksasi
  • Penerbit album : UNIC
  • Dikeluarkan : 2012
  • Label : UNIC Records
2013 Doa
  • Penerbit album : UNIC
  • Dikeluarkan : 2013
  • Label : UNIC Records

Album Himpunan & Kompilasi

[sunting | sunting sumber]
Tahun Judul Jualan
2002 Nur Kasih
2004 Kalimah Cinta
2005 Nur Kasih 2
2005 Kalimah Cinta 2
2009 Langkah Tercipta
2015 UNIC Greatest Hits (2015)
  • Penerbit album : UNIC
  • Dikeluarkan : 2018
  • Label : UNIC Records
2016 UNIC Zikir Munajat
  • Penerbit album : UNIC
  • Dikeluarkan : 2016
  • Label : UNIC Records
2018 The Best of UNIC
2018 Kompilasi Doa & Zikir Munajat
  • Penerbit album : UNIC
  • Dikeluarkan : 2018
  • Label : UNIC Records

Lagu dan single

[sunting | sunting sumber]
  • "Ainul Mardhiah" (2017)
  • "Sucikan Hati" (2017)
  • "Sedar ft Caprice" (2017)
  • "Zinnirah" (2018)
  • "Langit Jingga" (2019)
Tahun Jadul Label
2026 "Satu Tekad" Sony Music Malaysia

Kontroversi

[sunting | sunting sumber]

Penjenamaan nama kumpulan

[sunting | sunting sumber]

Setelah menamatkan kontrak bersama Hijjaz Records, beberapa masalah telah timbul dan antaranya ialah penamaan nama rasmi UNIC. Hijjaz Records menyatakan bahawa nama UNIC adalah hak milik syarikat mereka. Dengan itu nama UNIQUE dan UNIQ telah digunakan sebagai ganti tetapi telah mendatangkan beberapa masalah seperti kekeliruan dalam kalangan peminat setia UNIC. Setelah mereka berbincang dengan pihak pengurusan Hijjaz Records, akhirnya mereka mendapat semula nama UNIC dan digunakan sehingga kini.

Selain itu, terdapat sumber yang mengatakan bahawa sebahagian bekas anggota UNIC telah berikrar bahawa mereka tidak mahu menyertai lagi UNIC sama ada melalui reunion mahupun berhubung lagi dengan UNIC. Antara anggota UNIC yang tidak ingin bersama reunion ialah Wan Shah. Walaubagaimanapun, Wan Shah masih mengekalkan hubungan baik dengan anggota UNIC yang lain iaitu Fitri dan Afendi.

Anugerah dan pencalonan

[sunting | sunting sumber]
Tahun Anugerah Pencalonan Keputusan
2002 Anugerah Era Artis Kolaborasi Duo/Berkumpulan Popular Menang
Tahun Anugerah Pencalonan Keputusan
2018 Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2017 Artis Kolaborasi Duo/Berkumpulan Popular Tercalon
  • Kumpulan UNIC merupakan salah satu kumpulan nasyid yang mana anggotanya kerap bersilih ganti selain Far East. Hanya seorang sahaja anggota UNIC yang kekal sejak awal penubuhan iaitu Bazli.
  • Selama hampir 2 dekad UNIC dalam industri muzik tanah air, mereka sepatutnya boleh berbangga kerana ahli dan bekas ahli UNIC berjaya dalam bidang masing-masing.
  • Hafiz Hamidun telah menubuhkan syarikatnya sendiri iaitu Arteffects Productions (kini Arteffects Media Group) pada tahun 2006 setelah menamatkan kontraknya bersama Hijjaz Records, sekaligus meninggalkan UNIC pada waktu itu. Kini, beliau mencapai banyak kejayaan di mana syarikat miliknya berkembang maju dan terkenal bukan sahaja di dalam negara, malah di luar negara juga.
  • Fitri Haris pula kini bergelar seorang pensyarah di Universiti Utara Malaysia (UUM) dan memegang status Doktor Falsafah. Fitri yang popular dengan panggilan Angah juga menghasilkan beberapa buah lagu solo dan satu album zikir setelah meninggalkan UNIC pada tahun 2009.
  • Selain menyanyi, Bazli juga merupakan seorang usahawan yang berjaya di mana beliau bersama isterinya kini menjual beberapa produk makanan di bawah jenama "Kak Asiah".
  • Pada tahun 2017, Bazli telah kehilangan anak sulungnya, Muhammad Syahid yang meninggal dunia akibat kanser limfoma. Bazli kemudiannya menujukan lagu Bintang Syurga yang popular pada waktu itu khas buat anaknya.
  • Fadzli Aziz kini berjaya sebagai seorang penceramah motivasi. Beliau dilihat sering mengadakan seminar terutamanya yang berkenaan dengan rumah tangga.
  • Pada awal pembabitannya dalam nasyid, Fadzli sebenarnya merupakan anggota kumpulan Allwise yang dikatakan akan menjadi artis rakaman Hijjaz Records. Namun, kumpulan tersebut tidak dapat meneruskan karier mereka dan Fadzli kemudiannya menyertai UNIC biarpun pernah dilamar untuk menyertai kumpulan Devotees.
  • Afendi merupakan abang kepada Muhammad Safwan Jahri, bekas anggota kumpulan nasyid kanak-kanak iaitu Ae-man yang turut bernaung di bawah label Hijjaz Records sebelum menyertai kumpulan Nice pada tahun 2007.
  • Najdi merupakan adik kepada bekas anggota kumpulan Saujana, Najran yang pernah menyertai kumpulan Rast bersama-sama Alan.
  • Bazli, Fitri, Fakhrul dan Fadzli merupakan empat personnel yang pernah berada dalam UNIC pada 2 era yang berbeza iaitu sewaktu bersama Hijjaz Records dan juga sewaktu bergerak di bawah label mereka sendiri iaitu UNICDotMyPro (dahulu dikenali sebagai UNIC Records).
  1. [Penghijrahan Hafiz Hamidun Diarkibkan 2017-09-07 di Wayback Machine. Utusan Malaysia. Capaian 20 Mac 2012.
  2. Dakwah terbaru Hafiz Hamidun. Utusan Malaysia. Capaian 20 Mac 2012.
  3. https://web.archive.org/web/20150121022116/http://www.hmetro.com.my/node/25115
  4. Kumpulan Unic pop dakwah. Utusan Malaysia. Capaian 20 Mac 2012.
  5. "salinan arkib". Diarkibkan daripada yang asal pada 2018-01-04. Dicapai pada 2018-01-04.
  6. Unic susun strategi 2006. Utusan Malaysia. Capaian 20 Mac 2012.
  7. 'Tidak selamanya kami menyanyi'. Harian Metro. Capaian 20 Mac 2012.
  8. UNIC terus atur langkah. Harian Metro. Capaian 22 Mac 2012.
  9. UNIC anjur kem. Harian Metro. Capaian 22 mac 2012.

Pautan luar

[sunting | sunting sumber]