close
Pergi ke kandungan

Inteam

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
(Dilencongkan daripada In-Team)
Inteam
BERJAYA
Inteam
Anggota terkini Inteam.
(Dari kiri) Rahim, Hazamin, Hisyam dan Syah
Maklumat latar belakang
Juga dikenali
sebagai
In-Team (2000-2005)
AsalMalaysia Malaysia
GenreNasyid
Tahun aktif2000-kini
DiskografiLihat: Inteam discography (en) Terjemah Sunting nilai ini di Wikidata
Syarikat rakamanHijjaz Records (2000-2005)
Inteam Records (2005-kini)
Kegiatan berkaitan
Anggota semasa
Bekas anggota
Pautan berkaitan
Pautan lainSpotify: 4V3ZO3RnRFdpS10jbUTJaT Apple Music: 158168038 MusicBrainz: 05cdfaf4-fda0-48af-aa54-8e6c427323bb
Facebook: official.inteam X: InteamNasyid Instagram: official_inteam Sunting nilai ini di Wikidata
sunting · sunting di Wikidata
Lihat pendokumenan templat ini
Lihat pendokumenan templat ini

Inteam (dahulu In-Team) merupakan sebuah kumpulan nasyid Malaysia. Kumpulan ini menyampaikan lagu-lagu nasyid dalam bahasa Melayu, Inggeris dan Arab. Kumpulan yang telah ditubuhkan pada tahun 1998 ini mula mencipta nama dalam industri muzik tempatan dengan lagu Kasih Kekasih pada tahun 2000 di bawah label Hijjaz Records. Kumpulan ini juga seangkatan dengan kumpulan UNIC, Aeman dan Mestica yang juga bernaung di bawah label yang sama. Sehingga kini, kumpulan yang dianggotai oleh Syah, Hazamin, Hisyam & Rahim ini masih mampu mengecap populariti biarpun berada dalam industri lebih dari 2 dekad.

Perjalanan Karier

[sunting | sunting sumber]

1998: Sejarah Awal

[sunting | sunting sumber]

Pengasasan kumpulan In-Team bermula seawal tahun 1998 di Pusat Matrikulasi UIA Kampus Lembah Pantai di mana ianya dianggotai oleh sekumpulan anak muda yang baru sahaja menjejakkan kaki ke kampus tersebut. Kisahnya bermula apabila fasilitator-fasilitator yang membimbing pelajar baharu hendak mencari beberapa orang mahasiswa untuk membuat persembahan di hari terakhir minggu orientasi yang juga dipanggil sebagai "Ta'aruf Week". Barisan awal kumpulan ini terdiri daripada mahasiswa dari fakulti kejuruteraan dan undang-undang, antaranya ialah Syah, Hazamin, KZ dan turut disertai oleh dua anggota kumpulan Mirwana pada ketika itu iaitu Izzat (kini bekas anggota) dan Akmal. Atas cadangan KZ yang dahulunya merupakan anggota kumpulan Suara SMAKL, kumpulan ini dinamakan sebagai "In-Team" yang merupakan akronim kepada perkataan "Islamic Entertainment Of The Millennium" selain membawa maksud "Dalam Kumpulan" dalam bahasa Inggeris. Jika dieja mengikut sebutan Melayunya iaitu "Intim", ia membawa maksud "Rapat" atau "Akrab".

Pada masa yang sama, bahang nasyid begitu membara di Malaysia sehinggakan di UIA pada ketika itu, muncul hampir 20 kumpulan nasyid yang melibatkan kolej, fakulti dan juga jurusan. Selain In-Team, terdapat sebuah kumpulan nasyid utama di UIA yang bernama Husaini di mana kumpulan ini bernaung di bawah kelab nasyid rasmi UIA iaitu "Grimis" dan sering dianggap sebagai pesaing utama kepada In-Team. Seperti In-Team, Husaini juga mempunyai anggota yang ramai pada ketika itu antaranya Hisyam, Rahim, Ariffin (kemudian menyertai Hijjaz) dan Amin Idris (kini pengacara & motivator).

Perjalanan seni kumpulan In-Team bermula apabila mereka telah diundang untuk membuat persembahan-persembahan di dalam dan luar kampus di mana salah satunya ialah persembahan pembukaan di sekolah lama Hazamin iaitu Sekolah Menengah Agama Al-Ihsan di Temerloh, Pahang. Pada malam itu, kumpulan Hijjaz hadir sebagai tetamu dan membuat persembahan di sekolah yang sama. Selain itu, sebuah konsert yang mengumpulkan kumpulan-kumpulan nasyid di UIA iaitu "KAWAN" diadakan pada setiap tahun dan akan menjemput kumpulan-kumpulan nasyid terkenal, antaranya Hijjaz dan Raihan. Di konsert itulah Hijjaz dapat mengesan bakat In-Team dan kemudiannya mempelawa mereka ke sesi ujibakat di bawah kendalian Hijjaz Music Entertainment (HME).

In-Team yang pada ketika itu dianggotai Syah dan Hazamin serta tiga anggota kumpulan Husaini iaitu Ariffin, Masnawi dan Fakri telah mempersembahkan bakat mereka dengan baik dan berjaya menambat hati Hijjaz untuk diserap sebagai ahli keluarga HME. Bagaimanapun, In-Team tidak terus menandatangani kontrak untuk menghasilkan album, sebaliknya mereka menimba ilmu nasyid dengan Hijjaz terlebih dahulu selama hampir setahun. Dalam tempoh itulah mereka mengikuti Hijjaz setiap kali kumpulan itu membuat persembahan pentas di seluruh Malaysia dan selalunya In-Team akan menjadi penyanyi latar bagi kumpulan tersebut. Dalam masa yang sama, In-Team turut bertindak sebagai penyanyi latar untuk album sulung kumpulan nasyid kanak-kanak iaitu Aeman yang juga artis naungan pertama Hijjaz Music Entertainment.

1999-2000: Kasih Kekasih

[sunting | sunting sumber]

Menjadi lumrah bagi mana-mana kumpulan nasyid yang bergiat aktif di universiti, In-Team juga mengalami pertukaran anggota. Faktor komitmen dan keserasian telah menyebabkan Ariffin, Masnawi & Fakri berkeputusan untuk tidak lagi bersama In-Team, meninggalkan Syah & Hazamin sebagai anggota yang tinggal. Mereka berdua bersama pihak pengurusan kemudiannya mencari beberapa anggota baharu untuk melengkapkan senarai akhir In-Team. Melalui beberapa sesi uji bakat, In-Team berjaya dilengkapkan dengan kemasukan Hisyam yang merupakan anggota kumpulan Husaini dan Suhaimi yang kebetulan merupakan kenalan lama Hazamin ketika bersekolah di Pahang. Bersama Hisyam dan Suhaimi, In-Team secara rasminya diperkenalkan sebagai artis naungan Hijjaz Music Entertainment dan meneruskan sesi rakaman yang tergendala di beberapa buah studio. Pada masa yang sama, In-Team juga menjadi penyanyi latar untuk kumpulan Hijjaz setiap kali kumpulan tersebut mengadakan persembahan pentas di seluruh Malaysia. Akhirnya pada tahun 2000, In-Team membuat kemunculan sulung mereka dengan album Kasih Kekasih di bawah terbitan Hijjaz Music Entertainment dan edaran oleh NAR Records.

Menerusi lagu killer mereka iaitu Kasih Kekasih, nama In-Team mula meniti di bibir peminat apabila album tersebut mencatatkan jualan melebihi 80,000 unit sekaligus melayakkan mereka mendapat anugerah platinum daripada Hijjaz Records & NAR Records. Namun di sebalik meletupnya lagu Kasih Kekasih, ia mengundang pelbagai reaksi daripada orang ramai. Kebanyakannya menerima baik lagu tersebut kerana mengandungi nilai-nilai positif yang boleh diambil. Namun, ada juga yang memandangnya dari sisi negatif kerana berpendapat lagu ini akan menggalakkan lagi orang ramai untuk menjalinkan cinta pada usia yang muda sehinggakan Inteam pernah ditegah dari menyanyikan lagu tersebut setiap kali mereka mengadakan persembahan pentas di dalam UIA. Lama-kelamaan, kontroversi itu mulai lenyap dan orang ramai mula menerima baik lagu tersebut setelah memahami lirik dan mesej yang hendak disampaikan dalam lagu tersebut.

2001: Impian Kasih

[sunting | sunting sumber]

Setelah setahun Inteam menghasilkan album pertama, mereka muncul pula dengan album kedua yang berjudul Impian Kasih pada tahun 2000 di bawah terbitan Hijjaz Music Entertainment dengan NAR Records masih lagi bertindak sebagai pengedar album. Album ini telah menaikkan lagi nama Inteam dalam industri dengan beberapa lagu hit mereka antaranya Impian Kasih, Insan Taqwa, Hembusan Kasturi, Selamatkan Dunia dan sebuah lagu srikandi bertajuk Rabiatul Adawiyah. Sebuah lagu ciptaan Suhaimi Inteam bersama gurunya, Ustaz Khairul iaitu Lilin Seorang Guru turut dimuatkan dalam album ini.

Pada waktu ini, Hijjaz dan NAR Records telah mengeluarkan peruntukan yang besar dalam penghasilan album kedua setelah melihat kejayaan album Kasih Kekasih. Dengan kelebihan tersebut, Inteam kelihatan agak kehadapan dari segi penghasilan album dengan kemudahan studio rakaman yang lebih canggih sekaligus mempamerkan kualiti bunyi yang lebih baik. Di samping itu, susunan muzik Inteam juga menjadi lebih mantap & kreatif berbanding sebelumnya hasil khidmat beberapa pemuzik profesional seperti Along, Musa dan Ujang dari kumpulan Exists dan ramai lagi.

2002-2003: Rahim - Tiada Yang Lain

[sunting | sunting sumber]

Dikala In-Team sedang giat mempromosikan album kedua mereka, ahli-ahli In-Team sudahpun berada di tahun kedua pengajian dan jadual mereka juga semakin padat dari hari ke hari. Hal ini sedikit sebanyak menyebabkan jadual mereka mula berlainan terutamanya Hisyam yang pada ketika itu hendak menghabiskan pengajiannya dengan lebih awal daripada tempoh pengajian yang ditetapkan. Anggota In-Team yang lain sememangnya memahami keadaan Hisyam pada ketika itu namun bagi pihak pengurusan, mereka bersikap sebaliknya.

Kesibukan tersebut telah menimbulkan ketegangan antara Hisyam dengan pihak pengurusan, tambahan pula Hisyam merasakan bahawa bayaran yang diterima oleh beliau dan rakan-rakannya tidak setimpal dengan persembahan pentas yang diterima setiap bulan. Konflik ini menjadi parah apabila Hisyam direhatkan oleh pihak pengurusan dalam satu tempoh yang tidak jelas menyebabkan karier In-Team sedikit terganggu ketika itu. Biarpun Hisyam ada mengajak anggota-anggota In-Team untuk mencari label lain, namun Syah, Hazamin & Suhaimi merasakan bahawa masih banyak lagi perkara yang mereka perlu pelajari dan kecapi bersama Hijjaz Records sebelum betul-betul mengambil keputusan untuk meninggalkan pihak pengurusan.

Atas faktor tersebut, In-Team memilih untuk meneruskan kontrak bersama Hijjaz Records sekaligus Hisyam keluar dari In-Team. Pada masa yang sama, In-Team bersama artis Hijjaz Records yang lain iaitu UNIC dan Ae-man tampil dengan sebuah album kompilasi yang berjudul Nur Kasih di mana album tersebut menghimpunkan lagu-lagu hit dari ketiga-tiga kumpulan tersebut. Album kompilasi ini turut menampilkan sebuah lagu baharu Inteam pada ketika itu iaitu Nur Kasih, ciptaan Munif Hijjaz di mana rakaman lagu ini hanya menampilkan tiga anggota sahaja iaitu Syah, Hazamin dan Suhaimi. Lagu ini ternyata mudah mendapat tempat di hati peminat sekaligus menjadikan ianya lagu In-Team yang paling "berhantu" sehingga kini.

Keluarnya Hisyam daripada In-Team meninggalkan impak yang besar serta mengejutkan banyak pihak di kala nama mereka berada di puncak. Bagi melengkapkan kembali line-up In-Team, Syah & Hazamin membawa masuk sahabat mereka dari kumpulan Husaini iaitu Abdul Rahim untuk menggalas posisi yang ditinggalkan Hisyam. Bersama Abdul Rahim, In-Team kemudiannya melahirkan album studio ketiga berjudul Damba Kasih pada tahun 2003 di bawah terbitan Hijjaz Music Entertaiment dengan NAR Records kekal sebagai pengedar album. Album ini menampilkan banyak lagu hit seperti Damba Kasih, Sentuhanmu, Bisikan Nurani dan sebuah lagu srikandi berjudul Ratu Syahadah. Lagu Nur Kasih yang terkandung dalam album kompilasi Nur Kasih sebelum itu juga dimasukkan semula ke dalam album Damba Kasih di trek kelapan (trek pertama di muka dua atau "Side B" dalam format kaset).

2004: In-Team '04

[sunting | sunting sumber]

Berikutan kejayaan album ketiga mereka, In-Team tidak lagi menoleh ke belakang dengan menghasilkan material untuk album mereka yang seterusnya. Hijjaz Records ternyata tidak kedekut untuk mengeluarkan bajet yang lebih besar untuk menghasilkan album keempat In-Team, malah pada ketika ini juga Hijjaz telah bekerjasama dengan syarikat rakaman antarabangsa iaitu EMI yang banyak melahirkan artis-artis terkenal di Malaysia seperti Allahyarham Dato' Sudirman Haji Arshad, Allahyarham Dato' Hail Amir, Uji Rashid & Allahyarhamah Datuk Sharifah Aini untuk mengedarkan album-album terbitan Hijjaz Records setelah kontrak edaran album bersama NAR Records tamat pada tahun sebelumnya.

Pada tahun 2004, lahirlah album keempat In-Team yang mula menampakkan beberapa kelainan berbanding tiga album sebelumnya. Album ini diberi judul In-Team '04 dan tidak lagi menggunakan perkataan "kasih" seperti album-album sebelumnya. Kelainan ini juga kelihatan jelas dari segi susunan muzik dalam setiap lagu di mana mereka memasukkan elemen "world music" dalam lagu bertajuk Az-Ziarah yang juga sebuah lagu Arab lama nyanyian Habib Asasi dari negara Yaman. Selain itu, album ini hanya memuatkan 10 buah lagu sahaja dan tiada lagi "narration" sepertimana yang terkandung dalam tiga album sebelumnya.

Album ini diberi nama In-Team '04 kerana album ini merupakan album studio In-Team yang keempat, dikeluarkan pada tahun 2004 dan dianggotai oleh 4 orang. Album ini juga merupakan antara album terbitan Hijjaz Records yang terawal diedarkan oleh EMI selain album See You Di IPT (UNIC) dan Sendu Sendawa (Mestica). Antara lagu hit dalam album ini ialah Setanggi Syurga, Kasihku Abadi, Kalimah Cinta (dari album kompilasi "Kalimah Cinta") dan sebuah lagu srikandi yang berjudul Halimatus Saadiah. Salah satu lagu dalam album ini iaitu Keredhaan-Mu dicipta oleh Hazamin bersama rakan sebiliknya di UIA dahulu iaitu Zamre Khan. Album In-Team '04 merupakan album terakhir In-Team di bawah Hijjaz Records sebelum mereka mula bergerak sendiri pada tahun 2005.

2005-2006: Pengunduran Suhaimi, In-Team Kepada Inteam & Album Tiada Lagi Kasih

[sunting | sunting sumber]

Pada tahun 2004, In-Team telah mendapat keizinan daripada Hijjaz Records untuk menguruskan sendiri persembahan mereka tanpa bantuan pihak pengurusan. Untuk memudahkan lagi urusan persembahan, In-Team telah menubuhkan syarikat persendirian mereka iaitu In-Team Edutainment dengan menggunakan salah sebuah bilik di rumah sewa Hazamin sebagai pejabat operasi mereka pada awalnya. Pada masa yang sama, In-Team sempat bergandingan dengan artis baharu Hijjaz Records iaitu Mestica dengan lagu Kerana Cinta.

Pada penghujung tahun 2004, Hijjaz seperti biasa menawarkan In-Team untuk melanjutkan lagi kontrak bersama Hijjaz Records, tetapi kali ini In-Team sepakat untuk menolak tawaran tersebut. Keputusan yang diambil ini membuatkan anggota-anggota Hijjaz berasa kecewa dan merasakan Inteam tidak mengenang budi sehinggakan Inteam ditegah daripada menyanyikan lagu-lagu mereka semasa bernaung di bawah Hijjaz Records. Namun bagi Inteam, keputusan mereka untuk menolak tawaran bukanlah kerana mereka tidak lagi menyukai Hijjaz, tetapi sudah tiba masanya untuk mereka bergerak sendiri dan menjadikan kejayaan Hijjaz sebagai inspirasi.

Konflik yang berlaku ini telah mendorong kepada penjenamaan semula nama mereka daripada In-Team menjadi Inteam demi mengelakkan sebarang isu yang timbul antara mereka dengan Hijjaz. Inteam juga cuba untuk menjernihkan keadaan dan berhubung dengan Hijjaz untuk membenarkan mereka menyanyikan lagu-lagu mereka ketika masih bernaung di bawah Hijjaz. Namun di kala mereka mahu memulakan langkah untuk bergerak sendiri, Suhaimi mula berbelah bahagi kerana masih menyayangi guru-guru mereka dan tidak bersedia lagi untuk meninggalkan Hijjaz Records.

Setelah pertimbangan dibuat, Suhaimi mengambil keputusan untuk menyambung kontrak bersama Hijjaz Records sebagai penyanyi solo dan menganggap beliau sudah tidak lagi sehaluan dengan Inteam. Pada masa yang sama, In-Team Edutainment secara rasminya dinaik taraf menjadi Inteam Records Sdn. Bhd. dan telah mempunyai beberapa orang pekerja dengan sebahagiannya merupakan sahabat Inteam di UIA. Dengan tertubuhnya Inteam Records, Inteam telah memulakan usaha untuk menghasilkan album mereka sendiri dan mula mendapatkan khidmat rakan-rakan dalam arena nasyid untuk penciptaan dan penyusunan lagu antaranya Abu Bakar Raihan (lagu Cintailah Ilahi), Fadzli Fareast (lagu Segenggam Tabah), Akmal Mirwana (lagu Tanpa-Mu), Azahari Nowseeheart (lagu Pesona Dunia) dan juga Frizdan (lagu Pemergianmu).

Selain itu, Inteam juga berkolaborasi bersama artis-artis nasyid lain seperti Nazrey Johani menerusi lagu Kehidupan dan Muaz Dzulkefly menerusi lagu Selawat Badrul 'Ain. Inteam juga telah mengetengahkan lagu ciptaan mereka sendiri dalam album ini, antaranya Senandung Budi ciptaan Rahim, Stand Together ciptaan Syah dan Taman Firdausi ciptaan Hazamin.

Setelah hampir setahun memerah keringat, akhirnya Inteam berjaya menghasilkan album kelima yang berjudul Tiada Lagi Kasih pada tahun 2006, yang juga album pertama di bawah penerbitan mereka sendiri iaitu Inteam Records serta menjalin kerjasama dengan EMI sebagai pengedar album. Album ini mengembalikan semula identiti album-album Inteam yang terdahulu di mana album ini mengandungi 2 narration oleh Ustaz Dinie Juri. Album ini menunjukkan kemampuan mereka dalam menghasilkan album mereka sendiri dan seterusnya menaikkan nama mereka ke peringkat yang lebih tinggi dalam arena seni.

2007-2013: Bergabung Dengan Bekas Anggota

[sunting | sunting sumber]

Pada tahun 2007, Inteam sekali lagi menghasilkan album studio dan judul albumnya kali ini ialah Nur Insani. Album ini merupakan album pertama Inteam yang berkonsepkan jalan cerita di mana lagu-lagu yang terkandung dalam album ini disusun mengikut permulaan hidup manusia dari lahir sehingga meninggal dunia. Album ini juga merupakan album pertama Inteam yang menampilkan salah seorang bekas anggotanya iaitu Hisyam.

Dua tahun selepas itu, Inteam telah menghasilkan album ketujuh yang berjudul Allahu Rabbi. Album yang diedarkan oleh Warner Music Malaysia ini boleh dianggap sebagai album yang istimewa kerana mereka telah menjemput Hisyam dan Suhaimi, menjadikan album ini mendapat sambutan yang luar biasa dalam kalangan peminat. Album ini turut mengubah nasib kumpulan Inteam itu sendiri apabila mereka berjaya merangkul anugerah menerusi lagu Dia Muhammad dan album Allahu Rabbi dalam AIM ke-17 yang berlangsung pada tahun 2010. Lagu Dia Muhammad diiktiraf sebagai Lagu Nasyid Terbaik manakala album Allahu Rabbi diangkat sebagai Album Nasyid Terbaik pada malam tersebut yang berlangsung pada 2 Mei 2010 di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur.

Pada tahun 2013, Inteam sekali lagi menjemput Hisyam dan Suhaimi untuk menyertai album kelapan mereka yang bertajuk Iman & Aman. Album ini menampilkan gabungan muzik nasyid yang matang dan mesej keagamaan yang mendalam, sekaligus mengukuhkan lagi reputasi Inteam dalam industri.

Antara lagu yang paling menonjol ialah Iftar, sebuah karya istimewa ciptaan Syah Inteam, yang menjadi kegemaran ramai dan sering diperdengarkan semasa bulan Ramadan. Album ini turut mencerminkan perjalanan seni Inteam yang sentiasa berinovasi kreatif dalam berkarya sambil mengekalkan identiti dakwah mereka.

2014-2022: Ujian Getir Syah, Kembalinya Hisyam Bersama Inteam, Gema Gegar Vaganza & Konsert Inteam 20 Tahun

[sunting | sunting sumber]

Sekitar tahun 2014, dunia nasyid telah dikejutkan dengan berita yang menyedihkan di mana penyanyi utama Inteam, Syah telah terkena jangkitan kuman di paru-paru yang menyebabkan beliau mengalami batuk yang amat teruk di samping mengalami penyusutan berat badan yang sangat drastik. Keadaan menjadi lebih genting apabila keadaan kesihatan Syah semakin menurun dan mula tidak sedarkan diri dan ketika itulah timbul khabar angin yang mengatakan bahawa harapan beliau untuk hidup semakin tipis.

Keadaan ini telah menimbulkan keresahan dua anggota Inteam yang lain iaitu Hazamin dan Rahim di mana mereka berasa sangat sedih dan buntu memikirkan sahabat mereka. Namun dengan izin Allah, keajaiban telah berlaku di mana Syah sembuh seperti sediakala berkat usaha para doktor dan juga doa dari orang sekeliling. Namun begitu, Hazamin dan Rahim meminta Syah untuk berehat seketika daripada aktiviti seni dan pada ketika itulah mereka memanggil Hisyam untuk bersama mereka menjayakan persembahan-persembahan di institusi-institusi pengajian di dalam dan luar negara.

Pada tahun 2015, Inteam mengumumkan bahawa mereka telahpun kembali berempat dengan kemasukan semula Hisyam sebagai anggota tetap. Dengan kembalinya Hisyam, Inteam telah menghasilkan sebuah album kompilasi iaitu Miracle Hits Inteam, di mana album ini menghimpunkan semula lagu-lagu hit Inteam dari album Kasih Kekasih sehingga album Iman & Aman. Album ini turut menampilkan single terbaru mereka berjudul #suratcinta yang menceritakan tentang Al-Quran. Single ini diterima dengan sangat baik oleh para peminat.

Pada tahun 2018, Inteam telah terpilih untuk menyertai Gema Gegar Vaganza 2 anjuran Astro. Mereka berjaya mara ke pusingan akhir dan mendapat tempat keempat. Selepas penyertaan tersebut, mereka muncul dengan single terbaharu mereka berjudul Dia, ciptaan Harry Khalifah dan lirik oleh Syah Inteam. Single ini turut diserikan lagi dengan penampilan pasangan pelakon Norman Hakim dan Memey Suhaiza bersama anak mereka di dalam video klip.

Pada tahun 2020, Inteam telah melancarkan single baharu mereka iaitu Wanita ciptaan sepenuhnya oleh Hisyam Ahmad dan menampilkan seorang instafamous terkenal iaitu Aisyah Hijanah. Kemudian pada 12 Disember 2020, Inteam telah mengadakan Konsert Inteam 20 Tahun sempena tahun ke-20 Inteam berada dalam industri muzik tanah air. Konsert yang mendapat dana daripada Kementerian Komunikasi Dan Multimedia Malaysia (KKMM) menerusi Geran Dana Kandungan Digital (DKD) ini berlangsung dengan meriah sekali di mana mereka turut menjemput beberapa artis terkenal tanah air seperti Hijjaz, UNIC, Fitri Haris, Suffian Amrin, Khai Bahar, Lah Ahmad, Ikhwan Fatanna dan juga kumpulan Exists.

2023: Pemergian Suhaimi

[sunting | sunting sumber]

Pada 15 November 2023, Inteam menerima khabar duka apabila sahabat se-Inteam mereka, Suhaimi Saad telah kembali ke rahmatullah di Hospital Sultan Ismail, Johor Bahru pada jam 7.40 petang akibat jangkitan kuman dalam paru-paru. Pemergian beliau berlaku dengan tiba-tiba, mengejutkan ahli keluarga, rakan-rakan, serta sahabat seperjuangan dalam dunia muzik nasyid, dan meninggalkan kesedihan mendalam kepada semua yang mengenalinya. Seminggu sebelum kematiannya, tiga anggota Inteam iaitu Syah, Hazamin & Rahim sempat menziarahi Suhaimi di rumah mentuanya di Kota Tinggi, Johor.

Kehilangan Suhaimi bukan sahaja mengejutkan para peminat setia yang sentiasa mengikuti perkembangan beliau, tetapi juga menggugah emosi ramai penggiat seni yang mengenali dedikasi dan sumbangan beliau sepanjang kerjaya. Sepanjang hayatnya, Suhaimi dikenali sebagai individu yang rendah hati, berbakat besar, dan penuh semangat dalam menyebarkan mesej keagamaan melalui muzik nasyid. Pemergiannya meninggalkan kekosongan yang sukar diisi, namun karya-karya dan kenangan manis bersamanya akan terus hidup dalam ingatan semua yang mengenalinya.

Bagi ahli Inteam, pemergian sahabat mereka ini adalah satu kehilangan yang amat dirasai. Setiap detik kenangan, setiap persembahan, dan setiap tawa bersama kini menjadi memori berharga yang akan terus dikenang sampai bila-bila. Pemergian Suhaimi bukan sahaja menandakan berakhirnya satu era, tetapi juga mengingatkan manusia tentang betapa rapuhnya kehidupan dan betapa pentingnya untuk menghargai setiap detik bersama insan yang dikasihi. Kenangan anggota-anggota Inteam bersama Allahyarham Suhaimi kemudiannya diabadikan dalam lagu Harum Setangkai Doa ciptaan Frizdan dan lirik oleh Ito Lara.

Anggota Kumpulan

[sunting | sunting sumber]
BERJAYA
Ahli Inteam Terkini

Anggota Terkini

  • Mohd Syahril bin Abdul Khalid (Syah) - Ketua kumpulan dan pengasas Inteam bersama Hazamin sejak awal penubuhannya pada tahun 1998 sehingga kini. Berasal dari Seremban, Negeri Sembilan.
  • Muhammad Hazamin bin Harun (Hazamin/Amin) - Pengasas kumpulan Inteam bersama Syah sejak awal penubuhannya pada tahun 1998 sehingga kini. Berasal dari Temerloh, Pahang.
  • Hisyam bin Ahmad (Hisyam/Syam) - Mula menganggotai Inteam pada tahun 2000 menerusi album Kasih Kekasih sebelum meninggalkan kumpulan tersebut pada tahun 2002. Membuat kemunculan semula bersama Inteam pada tahun 2015 sebagai anggota tetap sehingga kini. Berasal dari Ulu Klang, Kuala Lumpur.
  • Abdul Rahim bin Osman (Rahim) - Anggota yang dibawa masuk oleh Inteam pada tahun 2002 untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan Hisyam, seterusnya menjadi tulang belakang untuk Inteam terus bertahan sehingga kini. Berasal dari Segamat, Johor.
BERJAYA
Bekas ahli Inteam, Allahyarham Suhaimi Saad

Bekas Anggota

  • Mohd Suhaimi bin Saad (Suhaimi/Mie) - Menyertai Inteam pada tahun 2000 dan sempat merakamkan empat buah album studio sebelum memulakan karier solo pada tahun 2005. Telah kembali ke rahmatullah pada 15 November 2023 akibat jangkitan kuman pada paru-paru, meninggalkan kesedihan yang mendalam dalam kalangan peminat dan penggiat muzik nasyid. Pemergian beliau meninggalkan legasi yang besar melalui karya-karya nasyidnya yang penuh makna, mesej keagamaan, dan pengaruhnya dalam membentuk perjalanan muzik nasyid tanah air. Suara, persembahan, dan sumbangannya akan terus dikenang, menjadi inspirasi dan warisan yang tidak akan dilupakan oleh generasi peminat setia.

Garis Masa

[sunting | sunting sumber]
BERJAYA

Diskografi

[sunting | sunting sumber]

Album Studio

[sunting | sunting sumber]
Tahun Judul Album Penerbit Label Edaran Jualan
2000 Kasih Kekasih Hijjaz Hijjaz Music Entertainment NAR Records 80,000 unit
2001 Impian Kasih Hijjaz Hijjaz Music Entertainment NAR Records 50,000 unit
2002 Damba Kasih Hijjaz Hijjaz Records NAR Records 50,000 unit
2004 In-Team '04 Hijjaz Hijjaz Records EMI
2006 Tiada Lagi Kasih Inteam Inteam Records EMI
2007 Nur Insani (menampilkan Hisyam) Inteam Inteam Records EMI
2009 Allahu Rabbi (menampilkan Hisyam & Suhaimi) Inteam Inteam Records Warner Music
2010 Nur Muhammad (menampilkan Hisyam, Suhaimi & kumpulan UNIQUE) Inteam Inteam Records Warner Music
2013 Iman & Aman (menampilkan Hisyam & Suhaimi) Inteam Inteam Records Warner Music
2017 Zikir Hati Inteam Inteam Records Inteam Records
2024 Zikir Hati 2 Inteam Inteam Records Inteam Records
Qasidah Qalbu Inteam Inteam Records Inteam Records
2026 Citra Kasih Inteam Inteam Records Inteam Records
Tahun Judul Lagu Komposer Penulis Lirik Label Album (jika ada)
2005 Kerana Cinta (bersama Mestica) Putra Aiman Lukhman S Hijjaz Records
  • Layar Keinsafan (album Mestica)
  • Kalimah Cinta 2
  • Inteam 20 Tahun
2015 #suratcinta Abu Yusuf Al-Menara Shaykh Hamza Yusuf Inteam Records
  • Miracle Hits Inteam
  • Inteam 20 Tahun
2016 Jangan Menghina (featuring Alif Satar) Sallam Khalid Hassan Inteam Records Inteam 20 Tahun
2017 Ya Rabbi Ya (featuring Adik Viral) DJ Fuzz Inteam Records Inteam 20 Tahun
2018 Dia Harry Khalifah Syah Inteam Inteam Records Inteam 20 Tahun
2019 Pemergianmu 1440H Frizdan Frizdan Inteam Records Inteam 20 Tahun
2020 I Love Muhammad (with Jae Deen) Joshua Asare Joshua Asare Deen Starz Entertainment/Inteam Records Inteam 20 Tahun
Setanggi Syurga 2020 (featuring Khai Bahar) Isman Isam (Manis Helma) Ito Lara Inteam Records Inteam 20 Tahun
Wanita Hisyam Ahmad Hisyam Ahmad Inteam Records Inteam 20 Tahun
Terima Kasih (featuring Ikhwan Fatanna) Ikhwan Fatanna & Wan Saleh Ikhwan Fatanna Inteam Records Inteam 20 Tahun
Ittaqullah Yasin Sulaiman Frizdan Inteam Records Inteam 25 Tahun
2021 Mencari Sinar (feat. Sam Bunkface) Allahyarham Ahmadi Hassan Allahyarham Ahmadi Hassan Smiley River Online Inteam 25 Tahun
Ramadan Kembali (bersama Isman Isam & Zayne Isman Isam Muhammad Izzat Inteam Records
Al-Quds Lana Ibrahim Al-Ahmad Ibrahim Al-Ahmad/Fedtri Yahya My Aqsa Defenders/Inteam Records Inteam 25 Tahun
Allah Allah Aghisna (bersama V.E.) H. Nawawi Islamic Heritage & Abdul Rahim Osman Inteam Records
2022 Selimut Kasih Syah Inteam Ahmad Fedtri Yahya Inteam Records & Pertubuhan Peduli Insan Inteam 25 Tahun
Damba Kasih 2022 (feat. Sufian Suhaimi) Manis Helma ITO lara & Manis Alia Inteam Records Inteam 25 Tahun
Taybah Abdul Rahim Osman Abdul Rahim Osman Inteam Records Inteam 25 Tahun
Tiada Tarikh Tamat (feat. Jeff A to Z) Daqmie Ad Samad & Jeff Samad Daqmie Music Factory & Universal Music Malaysia
  • Sahabat Selamanya
  • Inteam 25 Tahun
Kasih Kekasih (feat. Daqmie) Manis Helma ITO lara Daqmie Music Factory & Universal Music Malaysia
  • Sahabat Selamanya
  • Inteam 25 Tahun
2023 Kasihku Abadi 2023 (feat. Ezad Lazim) Munif Ahmad Lukhman S Inteam Records
  • Inteam 25 Tahun
  • Citra Kasih
2024 Rabiatul Adawiyah 2024 (feat. Khai Bahar) Munif Ahmad Abdul Kahar Inteam Records
  • Inteam 25 Tahun
  • Citra Kasih
Kudus Palestin (feat. Lah Ahmad) Syah Inteam ITO Lara Inteam Records
  • Inteam 25 Tahun
  • Citra Kasih
2025 Kias Cinta 2.0 (feat. Hadie Elfardie & Sallman Elkhoyri Manis Helma Zuryati Isa Inteam Records Citra Kasih
Satukan Kami Di Syurga Farouk Roman Fedtri Yahya Inteam Records
2026 Madrasah Ramadan Frizdan Fizarahman Ito Lara Inteam Records
Hamparan Kasih Manis Helma Ito Lara & Manis Alia Inteam Records
Citra Kasih Munif Ahmad Ito Lara Inteam Records
Alangkah Indah Ustaz Ikmal Zaidi Hashim Ustaz Ikmal Zaidi Hashim Inteam Records

Album Kompilasi Inteam & Album Lain Yang Melibatkan Inteam

[sunting | sunting sumber]
Tahun Judul Album Penerbit Label Edaran
2002 Semulia Ramadhan Seindah Lebaran Hijjaz Hijjaz Records NAR Records
2002 Best Of In-Team Hijjaz Hijjaz Records NAR Records
2002 Nur Kasih Hijjaz Hijjaz Records NAR Records
2002 Junjungan Mulia 3 Warner Music
2004 Kalimah Cinta Hijjaz Hijjaz Records EMI
2004 Habibullah Hijjaz Hijjaz Records EMI
2004 Sirah Junjungan Warner Music
2005 Nur Kasih 2 Hijjaz Hijjaz Records EMI
2005 Kalimah Cinta 2 Hijjaz Hijjaz Records EMI
2005 Memori Gemilang Hijjaz Hijjaz Records EMI
2005 Nasyid No. 1 Hijjaz Hijjaz Records EMI
2006 Lembaran Syawal Hijjaz Hijjaz Records EMI
2006 Habibullah (Platinum Edition) Hijjaz Hijjaz Records EMI
2007 Riwayat Agung Hijjaz Hijjaz Records EMI
2008 Salamun Salam Inteam Inteam Records EMI
2010 Nasyid Hits Inteam Inteam Records Warner Music
2010 Love Allah Love Rasul (International Edition) Inteam Inteam Records Inteam Records
2010 Inteam Kembara Sedekad Inteam Inteam Records Warner Music
2015 Nur Syawal Hijjaz Hijjaz Records Universal Music
2016 Miracle Hits Inteam Inteam Inteam Records Sony Music
2018 The Best Of In-Team Hijjaz Hijjaz Records Rusa Music
2020 Inteam 20 Tahun (CD Eksklusif) Inteam Inteam Records & Universal Music Malaysia Inteam Records
2025 Inteam 25 Tahun (Thumbdrive Album) Inteam Inteam Records Inteam Records
2026 Album Citra Kasih Inteam Inteam Records Inteam Records

Peringkat Antarabangsa

[sunting | sunting sumber]

Inteam juga kini mencipta sejarah baharu apabila berjaya melebarkan sayapnya ke peringkat antarabangsa. Bermula dengan perjuangan di tanah air, mereka kini menempah nama di pelbagai negara serantau seperti Singapura, Brunei, Thailand, Indonesia, dan Filipina. Kejayaan ini bukanlah datang sekelip mata, tetapi hasil dedikasi serta kesungguhan mereka dalam memperjuangkan muzik nasyid yang berteraskan dakwah dan mesej ketuhanan. Suara harmoni yang mantap, susunan muzik yang segar serta lirik yang menyentuh jiwa menjadikan karya Inteam diterima oleh pelbagai lapisan masyarakat.

BERJAYA
Inteam semasa persembahan di Algeria (2025)

Selain itu, langkah mereka tidak terhenti di Asia Tenggara sahaja. Inteam turut menembusi pasaran antarabangsa yang lebih luas dengan membawa irama nasyid ke China, Mesir, Kanada, Turkiye, Lubnan, Vietnam, dan Kemboja. Kehadiran mereka di negara-negara ini menunjukkan bahawa mesej Islam yang disampaikan melalui muzik mampu diterima dalam pelbagai budaya dan bahasa. Setiap persembahan yang diadakan bukan sekadar hiburan, tetapi menjadi wadah untuk menyebarkan nilai-nilai murni, kasih sayang, dan semangat persaudaraan sejagat. Lebih membanggakan lagi, pengaruh Inteam kini turut sampai ke benua lain seperti Amerika Syarikat, Perancis, Australia, New Zealand, Algeria, dan Syria.

Ini membuktikan bahawa nasyid bukan sekadar genre muzik tempatan, tetapi satu bentuk seni universal yang mampu menyentuh hati manusia di seluruh dunia. Kejayaan ini meletakkan Inteam sebagai salah satu kumpulan nasyid terkemuka yang bukan sahaja mengharumkan nama Malaysia, malah menjadi duta kecil dalam menyampaikan mesej Islam melalui seni dan suara yang penuh keindahan. Inteam juga percaya bahawa kejayaan mereka menembusi pasaran antarabangsa bukanlah hasil usaha mereka semata-mata, tetapi turut didorong oleh sumbangan besar para penasyid terdahulu yang telah membuka jalan. Antara kumpulan yang menjadi inspirasi utama ialah kumpulan Raihan, yang sejak dahulu lagi telah berjaya membawa irama nasyid Malaysia ke pentas dunia. Kejayaan Raihan dalam memperkenalkan nasyid ke peringkat global telah memberi dorongan dan motivasi yang besar kepada generasi baharu seperti Inteam untuk terus melangkah lebih jauh dalam bidang seni dakwah ini.

Anugerah, pencalonan dan penghargaan

[sunting | sunting sumber]
BERJAYA
Inteam menerima Anugerah Khas Kembara ANAM (2020)

Sepanjang penglibatan kumpulan Inteam dalam industri muzik tanah air, mereka telah menerima pelbagai pengiktirafan melalui anugerah, pencalonan dan penyertaan dalam pertandingan muzik tempatan. Kejayaan yang diraih mencerminkan dedikasi serta konsistensi kumpulan ini dalam menghasilkan karya berkualiti dan berpengaruh dalam arena nasyid moden. Melalui perjalanan karier yang panjang, Inteam bukan sahaja diiktiraf atas mutu vokal dan kreativiti mereka, tetapi juga atas sumbangan besar dalam memperkembangkan muzik berunsur dakwah. Pelbagai anugerah dan pencalonan yang diterima menjadi bukti kukuh terhadap ketekunan serta keunggulan mereka sebagai antara kumpulan nasyid paling berpengaruh di Malaysia.

Di antara kejayaan album mereka ialah kejayaan mencapai Anugerah Platinum iaitu melebihi 25,000 unit. Album pertama mereka, Kasih Kekasih sahaja telah terjual sebanyak 80,000 unit.

Kumpulan Inteam juga turut membuktikan keupayaan mereka melangkaui sempadan tempatan apabila berjaya membawa nama nasyid Malaysia ke peringkat antarabangsa. Melalui persembahan, kolaborasi serta penerimaan karya mereka di luar negara, Inteam telah menunjukkan bahawa muzik berunsur dakwah mampu diterima secara global. Kejayaan ini menjadi simbol bahawa usaha dan komitmen mereka bukan sahaja diiktiraf di Malaysia, malah turut mendapat perhatian di arena antarabangsa.

ANUGERAH,PENCALONAN, PERTANDINGAN DAN PENGHARGAAN
TahunAnugerah / PertandinganKategoriKaryaAlbum / MaterialKeputusan
2001Anugerah Industri Muzik ke-8Persembahan Vokal Berkumpulan Terbaik di Dalam AlbumKasih KekasihKasih KekasihTercalon
Album Nasyid TerbaikTercalon
2005Anugerah Industri Muzik ke-12Album Nasyid TerbaikIn-Team ‘04Tercalon
2009Anugerah Industri Muzik ke-16Lagu Nasyid TerbaikKemuliaan Al-QuranKemuliaan Al-QuranTercalon
2010Anugerah Industri Muzik ke-17Persembahan Vokal Berkumpulan Terbaik di Dalam LaguAllahu RabbiAllahu RabbiTercalon
Lagu Nasyid TerbaikMenang
Lagu Nasyid TerbaikDia MuhammadTercalon
Lagu TerbaikTercalon
Album Nasyid TerbaikAllahu RabbiMenang
Album TerbaikTercalon
2011Anugerah Industri Muzik ke-18Persembahan Vokal Berkumpulan Terbaik di Dalam LaguSalamun Salam 2Nur MuhammadTercalon
Lagu Nasyid TerbaikBebas Palestin (bersama Rabbani, Saujana & NowSeeHeart)Tercalon
2013Anugerah Industri Muzik ke-20Persembahan Vokal Berkumpulan Terbaik di Dalam LaguSyafaatmuIman & AmanTercalon
Lagu Nasyid TerbaikZikir Susang SenangTercalon
2018Gema Gegar Vaganza Musim 2Lagu pertandingan akhir (Rabiatul Adawiyah & Al-Haq Yang Satu)Tempat ke-4
2019Anugerah Nasyid 2019Muzik Video TerbaikDiaSingleMenang
2020Anugerah Nasyid Malaysia (ANAM) 2020Artis Nasyid PilihanMenang
Anugerah Kembara (Khas)Menang
2024Anugerah Carta 114 Musim PertamaJuaraSelimut KasihSingleMenang
Vokal TerbaikMenang
Lagu TerbaikMenang
2025Anugerah Industri Muzik ke-24Lagu Nasyid TerbaikKudus Palestin (bersama Lah Ahmad)Tercalon
2025Anugerah Industri Muzik ke-24Vokal Kumpulan TerbaikNasab NabiMenang
2025 Anugerah Carta 114 Musim Ketiga Vokal Terbaik Kudus Palestin - Menang

Konsert 20 Tahun Inteam

[sunting | sunting sumber]
BERJAYA
Konsert Inteam 20 Tahun (2020)

Konsert 20 Tahun Inteam merupakan satu detik bersejarah yang meraikan dua dekad perjuangan kumpulan nasyid tersohor Malaysia itu. Konsert ini diadakan sebagai tanda penghargaan kepada para peminat yang telah menyokong mereka sejak tahun 2000. Ia menghimpunkan lagu-lagu popular seperti Kasih Kekasih, Nur Kasih dan Dia, serta menampilkan kolaborasi bersama artis jemputan seperti Hijjaz, Exists, Khai Bahar, Lah Ahmad, UNIC dan Zayne, menjadikan persembahan itu bukan sekadar hiburan tetapi simbol ukhuwah antara generasi lama dan baharu dalam dunia nasyid.

Pelaksanaan konsert ini turut berdepan cabaran apabila negara berada dalam tempoh pandemik COVID-19 dan pelaksanaan PKPB. Namun, Inteam menunjukkan kecekalan dengan menyesuaikan konsep konsert kepada format hibrid, iaitu gabungan tontonan fizikal dan atas talian. Pendekatan ini membuktikan kesungguhan mereka memastikan mesej dakwah dan hiburan rohani tetap sampai kepada penonton walau dalam situasi sukar.

Walaupun berdepan pelbagai kekangan, konsert ini tetap berjaya dilaksanakan dengan kemantapan vokal dan susunan muzik yang kreatif. Persembahan mereka memadukan elemen klasik dan moden, mengekalkan nilai nasyid sambil memberi nafas baharu yang segar. Ketiadaan bekas ahli, Suhaimi Saad, akibat masalah kesihatan, sedikit sebanyak menyentuh emosi penonton, namun semangat kebersamaan dan rasa syukur mewarnai keseluruhan persembahan.

Konsert Kasih Kekasih Inteam 25 Tahun

[sunting | sunting sumber]

Kumpulan nasyid Inteam telah menjadi fenomena dalam industri muzik Malaysia sejak ditubuhkan 25 tahun lalu, terkenal dengan lagu-lagu yang menyentuh jiwa dan mesej dakwah yang konsisten. Konsert Kasih Kekasih 25 Tahun yang diadakan pada 28 September 2025 di Idea Live Arena, Petaling Jaya, menandakan ulang tahun ke-25 mereka dan mendapat sambutan luar biasa apabila tiket habis dijual dalam masa hanya satu jam.

BERJAYA
Konsert Inteam Kasih Kekasih 25 Tahun (2025)

Konsert ini menghimpunkan lagu-lagu popular seperti Kasih Kekasih, Nur Kasih, Setanggi Syurga, dan TanpaMu, sambil menampilkan kolaborasi bersama artis undangan, menjadikan persembahan bukan sahaja hiburan tetapi juga manifestasi pengaruh dan legasi Inteam dalam dunia nasyid. Tema konsert Cinta Ilahi, Sayang Nabi, Kasih Insani memperlihatkan kesinambungan misi dakwah kumpulan ini sambil menyampaikan mesej rohani kepada peminat lama dan baharu. Persembahan mereka diperkaya dengan susunan muzik moden, visual menarik, serta elemen pentas yang interaktif, memastikan pengalaman menonton lebih segar dan relevan dengan citarasa masa kini. Kekuatan vokal, harmoni, dan penghayatan setiap ahli Inteam membuktikan bahawa mereka masih unggul dan konsisten walaupun sudah berusia lebih dua dekad dalam industri muzik.

Selain persembahan muzik, konsert ini turut menampilkan kerjasama dengan MINAZ Sdn Bhd sebagai penaja utama, serta rangkaian radio Astro seperti Zayan (stesen radio), Era (stesen radio), Sinar (stesen radio), dan Gegar (stesen radio)sebagai radio rasmi. Tiket dijual melalui Aplikasi Khair sebagai platform rasmi, memperlihatkan usaha Inteam memperluas pengaruh mereka dan memperkukuh hubungan dengan peminat melalui pelbagai saluran. Kerjasama strategik ini membuktikan bahawa Inteam bukan sahaja menghargai seni, tetapi juga memahami pentingnya komunikasi dan interaksi dengan penonton secara moden.

Secara keseluruhannya, Konsert Kasih Kekasih 25 Tahun bukan sahaja meraikan pencapaian Inteam dalam industri muzik, tetapi juga menegaskan bahawa muzik nasyid masih relevan dan diminati oleh generasi lama dan baharu. Sambutan hangat terhadap konsert ini memperlihatkan bahawa legasi Inteam terus hidup sebagai fenomena muzik nasyid, yang berjaya mengekalkan pengaruh, penghayatan, dan mesej rohani selama 25 tahun.

Konsert Nur Kasih Inteam 25 Tahun

[sunting | sunting sumber]

Berikutan kejayaan Konsert Kasih Kekasih pada 28 September 2025 yang lalu, Inteam telah mengumumkan bahawa mereka akan tampil dengan konsert mega dengan kerjasama Icon Entertainment iaitu “Konsert Nur Kasih Inteam 25 Tahun” yang diadakan pada 1 Februari 2026 di Axiata Arena, Bukit Jalil, Kuala Lumpur. Konsert ini dianjurkan bagi meraikan 25 tahun perjalanan gemilang kumpulan nasyid tersohor, Inteam yang telah mencuri hati peminat dari generasi ke generasi.

BERJAYA
Inteam ketika sidang media Konsert Nur Kasih Inteam (2025)

Sepanjang suku abad, Inteam bukan sahaja menampilkan karya-karya yang indah dan penuh makna, malah kejayaan mereka bertahan lama dalam industri muzik nasyid menjadikan momen ini amat dinanti-nantikan oleh para peminat setia.

Fenomena viral semula Inteam di media sosial menambahkan lagi keterujaan peminat. Pembelian tiket “Inteam Kasih Kekasih 25 Tahun” bagaikan satu battle (pertarungan) sengit, tiket habis dijual dalam sekelip mata, menandakan besarnya kasih dan sokongan peminat terhadap kumpulan nasyid legenda ini. Sambutan hangat ini membuktikan bahawa muzik dan mesej Inteam masih relevan dan dekat di hati ramai orang walaupun selepas 25 tahun berkarya.

Konsert ini juga menjadi pengalaman yang penuh emosi, nostalgia, dan kenangan manis, di mana peminat berpeluang mengimbau kembali setiap karya Inteam yang inspiratif dan menyentuh hati. Ia bukan sekadar persembahan muzik, tetapi juga satu penghargaan kepada dedikasi dan perjalanan seni kumpulan ini, serta perayaan kasih sayang yang tidak berbelah bahagi daripada pengikut setia mereka sepanjang dua dekad setengah.

  • Selepas lebih 20 tahun berada dalam industri, Inteam sememangnya boleh berbangga kerana setiap daripada mereka berjaya dalam bidang masing-masing. Kemantapan vokal setiap anggota Inteam serta lagu-lagu yang berkualiti menjadikan mereka antara kumpulan nasyid yang kekal utuh sehingga kini.
  • Inteam kini merupakan sebuah nama yang besar di mana mereka mempunyai empayar sendiri iaitu Inteam Group Of Companies yang merangkumi Inteam Records (kini Inteam Digital), Inteam Publishing & Inteam Marketing. Syarikat yang mula ditubuhkan pada tahun 2005 itu kini menjual pelbagai jenis barangan seperti album, buku-buku ilmiah, cenderamata, produk makanan dan minuman serta banyak lagi.
  • Biarpun Rahim mula menganggotai In-Team secara komersial pada tahun 2002, Rahim sebenarnya merupakan antara anggota terawal yang pernah menyertai In-Team sebelum kemasukan Hisyam dan Suhaimi. Rahim pernah menyertai Konsert Keranamu Kosovo di Stadium Negara, Kuala Lumpur pada tahun 1999 sebagai penyanyi latar bersama Syah, Hazamin dan KZ.
  • Rahim juga merupakan calon terawal yang hendak dimasukkan dalam senarai akhir barisan anggota In-Team. Namun Rahim tidak dapat menyertainya kerana beliau telah berpindah ke UIA Gombak (kampus induk) satu semester lebih awal daripada anggota In-Team yang lain selain ingin mengutamakan pelajaran atas amanat orang tuanya.
  • Selepas keluar dari In-Team pada tahun 2002, Hisyam kemudiannya menubuhkan kumpulan nasyid baharu iaitu DeHearty yang membuat kemunculannya pada tahun 2004. Kumpulan nasyid yang bernaung di bawah label NAR Records ini popular dengan beberapa lagu hit, antaranya Inspirasi Hati dan Permata Yang Dicari. Biarpun kumpulan ini tidak lagi aktif tambahan pula Hisyam kini kembali bersama Inteam, lagu-lagu DeHearty masih diingati peminat nasyid sehingga kini.
  • Lagu Wanita ciptaan Hisyam yang menjadi salah satu single Inteam pada tahun 2020 sebenarnya adalah lagu asal beliau bersama DeHearty yang popular pada tahun 2005 menerusi album Insan Istimewa.
  • Tidak seperti Syah, Hazamin dan Rahim yang menguruskan Inteam Group Of Companies, Hisyam yang telah berkhidmat di FELDA selama 20 tahun kini memegang jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) di Waqaf FELDA.
  • Hazamin yang dilahirkan pada 7 November 1980 mempunyai saudara kembar perempuan yang bernama Siti Hazrin.
  • Suhaimi yang meninggalkan In-Team pada tahun 2005 telah bertemu jodoh dengan Nordiana Mohd Naim atau Ina Naim yang ketika itu juga bernaung di bawah Hijjaz Records.

Pautan luar

[sunting | sunting sumber]