close
Pergi ke kandungan

Tokugawa Iemitsu

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Tokugawa Iemitsu
徳川 家光
BERJAYA
Shōgun
Dalam jawatan
23 Ogos 1623 – 8 Jun 1651
Raja
Didahului olehTokugawa Hidetada
Digantikan olehTokugawa Ietsuna
Maklumat peribadi
Lahir(1604-08-12)12 Ogos 1604
Edo, Keshogunan Tokugawa
(kini Tokyo, Jepun)
Meninggal dunia8 Jun 1651(1651-06-08) (umur 46)
Edo, Keshogunan Tokugawa
Anak
Ibu bapa
TandatanganTandatangan

Tokugawa Iemitsu[a] (徳川 家光, 12 Ogos 1604 – 8 Jun 1651) ialah seorang samurai Jepun, daimyo dan shōgun ketiga dalam Dinasti Tokugawa. Beliau merupakan anak sulung Tokugawa Hidetada dengan Oeyo, serta cucu kepada Tokugawa Ieyasu. Puan Kasuga ialah ibu susuan beliau, yang juga bertindak sebagai penasihat politik dan menjadi tokoh penting dalam rundingan antara pihak keshogunan dengan Istana Maharaja.

Iemitsu memerintah dari tahun 1623 hingga 1651. Dalam tempoh ini, beliau menyalib orang Kristian, menghalau semua orang Eropah keluar dari Jepun dan menutup sempadan negara. Dasar tutup pintu ini berterusan selama lebih 200 tahun selepas ia diperkenalkan.

Kehidupan awal

[sunting | sunting sumber]

Tokugawa Iemitsu dilahirkan secara pramatang pada 12 Ogos 1604. Beliau ialah anak sulung Tokugawa Hidetada dan cucu kepada Tokugawa Ieyasu,[2] shōgun pertama Dinasti Tokugawa yang menyatukan Jepun. Iemitsu juga merupakan ahli pertama keluarga Tokugawa yang lahir selepas Ieyasu menjadi shōgun. Terdapat khabar angin mengatakan bahawa beliau sebenarnya anak kepada Ieyasu dengan Kasuga no Tsubone, bukan anak Hidetada, namun hal ini tidak pernah dibuktikan.

Maklumat tentang zaman kanak-kanak Iemitsu agak terhad. Nama kecilnya ialah Takechiyo (竹千代). Beliau mempunyai dua orang kakak, Senhime dan Masako, serta seorang adik lelaki bernama Tadanaga yang kelak menjadi pesaingnya kerana lebih disukai oleh ibu bapa mereka. Walaupun begitu, Tokugawa Ieyasu menetapkan dengan jelas bahawa Iemitsu akan menjadi shōgun seterusnya selepas Hidetada. Sejak lahir, Iemitsu dikatakan sering sakit. Ejaan lama bagi namanya ialah Iyemitsu.

Pewaris Tokugawa

[sunting | sunting sumber]

Tokugawa Iemitsu mencapai usia dewasa pada tahun 1617 dan menukar nama kecilnya kepada Tokugawa Iemitsu. Pada masa yang sama, beliau dilantik secara rasmi sebagai pewaris keshogunan Tokugawa. Bagaimanapun, kedudukannya dicabar oleh adiknya, Tokugawa Tadanaga. Persaingan sengit antara dua beradik ini pun bermula dan memberi kesan besar kepada politik dalaman keluarga Tokugawa.

Sejak muda, Iemitsu mengamalkan tradisi shūdō (hubungan sesama lelaki yang wujud dalam budaya samurai). Namun begitu, pada tahun 1620, berlaku pergaduhan antara beliau dan kekasih lelakinya, Sakabe Gozaemon, yang juga sahabat sejak kecil dan pengikut setianya. Dalam satu kejadian tragis, Iemitsu membunuh Sakabe ketika mereka sedang mandi bersama.[3]

Dalam soal perkahwinan, Iemitsu berkahwin dengan Takatsukasa Takako, anak kepada Takatsukasa Nobufusa pada 12 Disember 1623. Hubungan mereka baik, namun malangnya Takako mengalami tiga kali keguguran.

Pemangku shogun

[sunting | sunting sumber]

Pada tahun 1623, ketika berusia 19 tahun, Tokugawa Iemitsu dilantik sebagai shōgun selepas ayahnya, Tokugawa Hidetada turun takhta. Walaupun Hidetada masih memerintah sebagai Ōgosho (shōgun bersara), Iemitsu sudah mula berperanan sebagai ketua rasmi pentadbiran bakufu.[4] Iemitsu dengan tegas menyatakan kepada para daimyo bahawa sejak lahir lagi beliau telah ditentukan sebagai shōgun, berbeza dengan datuk dan ayahnya.[5]

Pada tahun 1626, Iemitsu dan Hidetada menghadap Maharaja Go-Mizunoo di Kyoto bersama Permaisuri Masako dan Puteri Diraja Meishō. Iemitsu menghadiahkan emas dan wang yang banyak kepada istana. Bagaimanapun, hubungan dengan Maharaja Jepun itu menjadi tegang selepas Peristiwa Jubah Ungu, apabila pihak keshogunan membatalkan anugerah jubah kehormatan yang dikurniakan maharaja kepada para pendeta. Selepas beberapa peristiwa memalukan, Maharaja Go-Mizunoo turun takhta dan Puteri Meishō naik takhta sebagai Maharani Jepun. Ini menjadikan Iemitsu sebagai bapa saudara kepada maharani yang sedang memerintah.

Dalam bidang sosial, kerajaan pada tahun 1629 mengharamkan kabuki yang dilakonkan oleh wanita kerana sering berlaku pergaduhan dalam kalangan samurai. Ia digantikan dengan wakashu kabuki yang menggunakan pelakon lelaki muda.[3] Iemitsu diketahui meminati bentuk hiburan ini,[6] menyebabkan pengharamannya hanya dilaksanakan selepas kematiannya pada tahun 1651.[3]

Pada tahun 1632, Hidetada meninggal dunia,[7] dan Iemitsu akhirnya memegang kuasa penuh sebagai shōgun. Namun demikian, beliau sentiasa berhati-hati kerana bimbang akan ancaman daripada adiknya, Tokugawa Tadanaga. Selepas Tadanaga dipaksa melakukan seppuku pada tahun 1633, barulah kedudukan Iemitsu sebagai shōgun menjadi benar-benar kukuh tanpa pesaing.

BERJAYA
Potret Tokugawa Iemitsu.

Selepas Hidetada meninggal dunia, Tokugawa Iemitsu mengambil alih kuasa sepenuhnya. Pada awalnya, Hidetada meninggalkan penasihatnya, semua daimyō veteran, untuk bertindak sebagai pemangku bagi Iemitsu. Namun begitu, pada tahun 1633, selepas kematian adiknya, Iemitsu menyingkirkan penasihat-penasihat ini dan menggantikannya dengan rakan-rakannya semenjak usia kanak-kanak. Dengan bantuan mereka, beliau membina pentadbiran yang kuat dan berpusat. Tindakan ini menyebabkan ketidakpuasan hati dalam kalangan daimyō, tetapi Iemitsu tidak teragak-agak menyingkirkan lawan-lawan politiknya.

Pada tahun 1635, Iemitsu mengeluarkan versi kedua buke shohatto, iaitu koleksi titah yang menetapkan kuasa dan tanggungjawab daimyō. Versi asal telah diperkenalkan pada 1615 di bawah Hidetada. Iemitsu memperluaskan titah ini daripada 13 kepada 21 peraturan, termasuk mengawal hubungan antara han (wilayah feudal) dengan keshogunan, menghalang daimyō daripada mengganggu jalan raya, membina penghalang, mengenakan sekatan perdagangan, atau membina kapal lebih besar daripada 500 koku. Titah ini juga menyerahkan semua kes jenayah di bawah kawalan pegawai bakufu, yang membawa kepada penubuhan hyōjōsho, tribunal jenayah pada tahun yang sama. Selain itu, titah menetapkan sokongan terhadap kesetiaan kepada ibu bapa, penentangan terhadap Kristian, serta peraturan tentang pakaian dan penggunaan pengusung.[8]

Salah satu perubahan paling penting ialah pengenalan sistem sankin-kōtai. Sistem ini memaksa daimyō untuk menetap secara bergilir di Edo dan di wilayah mereka sendiri, meluangkan masa tertentu di setiap tempat. Pada awalnya sistem ini hanya untuk daimyō tozama (luar), tetapi menjelang 1642, ia diperluaskan kepada semua daimyō.[8] Tujuan utama sistem ini ialah menghalang daimyō daripada mengumpul kekayaan atau kuasa berlebihan dengan memisahkan mereka dari wilayah asal dan memaksa mereka menanggung kos perjalanan yang tinggi beserta rombongan besar. Selain itu, isteri dan pewaris daimyō tinggal di Edo sebagai "tahanan", untuk memastikan kesetiaan mereka dan mencegah sebarang cubaan pemberontakan terhadap pihak keshogunan.[9]

Titah anti-Eropah

[sunting | sunting sumber]

Pada tahun 1630-an, pemerintahan Tokugawa Iemitsu menamatkan kehadiran peniaga dan mubaligh Katolik di Jepun yang telah berlanjutan hampir satu abad. Hampir semua warga Eropah diusir dari negara itu, dan hubungan perdagangan dibenarkan hanya melalui satu kapal Belanda setiap tahun. Dasar ini diperkuat selepas dua orang Portugis yang datang untuk memohon pemulihan dasar perdagangan luar Jepun telah dijatuhi dihukum mati. Menjelang akhir 1630-an, Iemitsu mengeluarkan siri titah yang mengatur secara terperinci sekatan pergerakan orang, barang, dan maklumat masuk dan keluar Jepun.

Salah satu titah paling terkenal ialah Titah Sakoku 1635, yang melarang setiap orang dan kapal Jepun pergi ke luar negara atau kembali ke tanah Jepun; pelanggaran dikenakan hukuman mati. Titah itu juga menawarkan hadiah bagi sesiapa yang memberi maklumat tentang pendeta Katolik atau pengikut mereka yang beragama secara rahsia, dan setiap kapal asing yang tiba mesti diperiksa sepenuhnya. Pedagang asing perlu menyerahkan senarai barang yang dibawa sebelum dibenarkan berdagang, dan syarat logistik seperti tarikh berlepas kapal asing ditetapkan. Harga sutera mentah turut dikawal supaya persaingan antara bandar perdagangan diminimakan.

Pada 1637, pemberontakan bersenjata berlaku di Shimabara yang dikenali sebagai Pemberontakan Shimabara,[2] terutama akibat cukai yang tinggi, layanan zalim oleh tuan tanah tempatan, dan penindasan terhadap penganut Kristian. Ribuan terbunuh semasa penindasan dan ramai lagi dihukum mati selepas itu.[10] Bakufu menggunakan kenyataan bahawa ramai pemberontak Kristian sebagai alasan untuk mengusir Portugis dan mengehadkan dagangan Belanda hanya di Dejima, Nagasaki.

Walaupun dikenali sebagai zaman sakoku atau "negara terkunci", Jepun masih aktif dalam perdagangan dan hubungan antarabangsa melalui empat saluran utama:

Dasar Iemitsu sangat berkesan sehingga Jepun tidak membuka semula pelabuhan secara meluas, membenarkan penduduk Barat menetap atau bergerak bebas, dan membenarkan rakyat Jepun ke luar negara sehingga tahun 1850-an. Secara moden, sarjana menekankan istilah kaikin ("sekatan maritim") kerana Jepun sebenarnya masih berinteraksi dengan dunia luar, tetapi secara terkawal melalui saluran tertentu.[11]

Hubungan dengan Istana Maharaja

[sunting | sunting sumber]

Pada tahun 1643, Maharani Meishō turun takhta dan digantikan oleh adik tirinya, Maharaja Go-Kōmyō (putera Maharaja Go-Mizunoo dengan seorang gundik). Maharaja Go-Kōmyō tidak menyukai keshogunan Tokugawa kerana dianggap bersikap keras dan kejam. Beliau sering melontarkan komen menghina terhadap Tokugawa Iemitsu dan anak sulung serta pewarisnya, Tokugawa Ietsuna, lalu menimbulkan ketegangan antara istana dan keshogunan.

BERJAYA
Makam Tokugawa Iemitsu.

Pada tahun 1651, shōgun Tokugawa Iemitsu meninggal dunia pada usia 47 tahun akibat strok, menjadikannya shōgun Tokugawa pertama yang meninggal dunia semasa memerintah, bukannya turun takhta. Nama pusaka Buddha beliau ialah Taiyūin,[2] atau juga dikenali sebagai Daiyūin (大猷院), dan mayatnya dikebumikan di Kuil Taiyū-in, Nikko.[12]

Sebelum kematiannya, Iemitsu telah mengembangkan Nikkō Tōshō-gū, namun beliau berhati-hati agar hiasan makamnya tidak melebihi atau menandingi makam datuknya, Tokugawa Ieyasu.[13] Pemerintahan beliau diteruskan oleh anak sulung dan pewarisnya, Tokugawa Ietsuna.

Tempoh pemerintahan Tokugawa Iemitsu sebagai shōgun dirujuk menggunakan beberapa nama era (nengō) dalam sejarah Jepun, yang membantu menetapkan kronologi tepat pemerintahannya.[14]

  1. ^ sebutan Jepun: [to.kɯꜜ.ɡa.wa | i.eꜜ.mʲi.tsɯ, to.kɯ.ɡa.wa i.eꜜ.mʲi.tsɯ, -ŋa.wa-][1]
  1. ^ Kindaichi, Haruhiko; Akinaga, Kazue, penyunting (10 March 2025). 新明解日本語アクセント辞典 (dalam bahasa Jepun) (ed. 2nd). Sanseidō.
  2. ^ a b c Nussbaum, Louis-Frédéric. (2005). "Tokugawa, Iemitsu" in [ Japan Encyclopedia, pp. 976-977], m/s. 976, di Buku Google; n.b., Louis-Frédéric is pseudonym of Louis-Frédéric Nussbaum, see Deutsche Nationalbibliothek Authority File Diarkibkan 2012-05-24 di archive.today.
  3. ^ a b c Crompton, Louis (15 November 2023). Homosexuality And Civilization. Harvard University Press. m/s. 425, 439. ISBN 9780674022331. Dicapai pada 15 February 2025.
  4. ^ Titsingh, J. (1834). Annales des empereurs du Japon, p. 410.
  5. ^ "『世は生まれながらの将軍である!』という家光の発言の後、政宗は『もしこの言葉を聞いて徳川に敵対する者があれば、まず、この政宗がお相手いたそう!』と、周りの武将を睨み付けた". Samurai library. Dicapai pada 22 July 2024.
  6. ^ Murphy, Taggart (2014). Japan and the Shackles of the Past. New York: Oxford University Press. m/s. 46. ISBN 978-0190619589.
  7. ^ Titsingh, p. 411.
  8. ^ a b Hall, John Whitney, penyunting (1988). The Cambridge history of Japan Vol. 4: Early Modern Japan. James L. McClain. Cambridge, UK: Cambridge University Press. m/s. 194–195. ISBN 0-521-22352-0. OCLC 17483588.
  9. ^ Vaporis, Constantine Nomikos (2008). Tour of Duty: Samurai, Military Service in Edo, and the Culture of Early Modern Japan. Honolulu: University of Hawai'i press. ISBN 9780824834708.
  10. ^ Screech, T. (2006). Secret Memoirs of the Shoguns: Isaac Titsingh and Japan, 1779–1822. p. 85.
  11. ^ Arano, Yasunori. "The Entrenchment of the Concept of "National Seclusion". Acta Asiatica 67 (1994). pp. 83–103.
    Arano, Yasunori. Sakoku wo minaosu 「鎖国」を見直す. Kawasaki: Kawasaki Shimin Academy, 2003.
    Kato, Eiichi. "Research Trends in the Study of the History of Japanese Foreign Relations at the Start of the Early Modern Period: On the Reexamination of 'National Seclusion' – From the 1970's to 1990's." Acta Asiatica 67 (1994). pp. 1–29.
    Tashiro, Kazui and Susan D. Videen. "Foreign Relations during the Edo Period: Sakoku Reexamined". Journal of Japanese Studies 8:2 (1982). pp. 283–306.
    Toby, Ronald. "Reopening the Question of Sakoku: Diplomacy in the Legitimation of the Tokugawa Bakufu", Journal of Japanese Studies 3:2 (1977). pp. 323–363.
  12. ^ Bodart-Bailey, Beatrice. (1999). Kaempfer's Japan: Tokugawa Culture Observed, p. 440.
  13. ^ Mausoleum of Tokugawa Iemitsu (Historical marker). Nikkō Tōshō-gū: Nikkō Tōshō-gū. 2023.
  14. ^ Titsingh, pp. 410–412.

Pautan luar

[sunting | sunting sumber]
  • BERJAYA Media berkaitan Tokugawa Iemitsu di Wikimedia Commons
Pegawai tentera
Didahului oleh
Tokugawa Hidetada
Shōgun:
Tokugawa Iemitsu

1623–1651
Diikuti oleh:
Tokugawa Ietsuna