close
Pergi ke kandungan

Pilihan raya umum Malaysia 1999

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
(Dilencongkan daripada Pilihanraya Umum Malaysia 1999)
BERJAYA
 1995 29 November 1999 (1999-11-29) 2004 

Semua 193 kerusi dalam Dewan Rakyat
97 kerusi diperlukan untuk majoriti
Terdaftar9,546,303
Pengundi hadir71.19%
  Parti pertama Parti kedua Parti ketiga
  BERJAYA BERJAYA BERJAYA
Pemimpin Mahathir Mohamad Fadzil Noor Joseph Pairin Kitingan
Parti UMNO PAS PBS
Gabungan BN BA  
Kerusi pemimpin Kubang Pasu Pendang Keningau
Pilihan raya
lepas
162 kerusi, 65.16% 16 kerusi, 20.0% 8 kerusi, 3.32%
Kerusi yang
dimenangi
148 42 3
Perubahan kerusi 14 26 5
Undian popular 3,761,093 2,681,086 143,144
Peratusan 56.52% 40.28% 2.15%
Peralihan undi 8.64pp 20.28pp 1.18pp

Perdana Menteri sebelum pilihan raya

Mahathir Mohamad
BN

Perdana Menteri dilantik

Mahathir Mohamad
BN

Pilihan raya umum Malaysia 1999 merupakan pilihan raya umum yang ke-10 di Malaysia dan diadakan pada 29 November 1999. Pilihan raya ini merupakan pilihan raya terakhir dalam tempoh pentadbiran Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri. Pilihan raya ini juga merupakan pilihan raya yang pertama diadakan selama sehari sahaja dalam sejarah politik negara. Pengundian telah diadakan di kesemua 193 kawasan Parlimen di seluruh Malaysia, setiap satu memilih seorang ahli Parlimen ke Dewan Rakyat. Pilihan raya negeri turut diadakan serentak di 394 kawasan negeri di setiap negeri kecuali Sabah dan Sarawak.

Gabungan kerajaan, Barisan Nasional mengalami kemerosotan dari segi penurunan jumlah kerusi dan undian dalam pilihan raya ini. Walau bagaimanapun, gabungan itu berjaya mengekalkan majoriti dua pertiga dalam Dewan Rakyat dengan meraih 148 dari 193 kawasan yang dipertandingkan. 45 kerusi selebihnya dimenangi oleh parti pembangkang, 42 daripadanya dimenangi gabungan pembangkang terbaharu, Barisan Alternatif dan tiga lagi dimenangi Parti Bersatu Sabah.

Barisan Alternatif menyaksikan kejayaan besar dalam pilihan raya ini, terutamanya bagi parti komponennya Parti Islam Se-Malaysia (PAS). Mereka berjaya membentuk kerajaan negeri di Terengganu dan Kelantan setelah meraih majoriti kerusi dalam pilihan raya negeri tersebut. Mereka juga berjaya meraih satu pertiga kerusi negeri di Kedah, satu peningkatan besar berbanding langsung tidak memenangi kerusi pada pilihan raya sebelumnya.

Latar belakang

[sunting | sunting sumber]

Pilihan raya umum sebelumnya menyaksikan peningkatan sokongan rakyat terhadap gabungan kerajaan Barisan Nasional, dan kehilangan pengaruh pakatan-pakatan pembangkang. Hal ini telah membawa kepada pembubaran gabungan Angkatan Perpaduan Ummah pada Mei 1996, yang berpunca daripada ketidaksefahaman antara PAS dan Semangat 46 serta terbubarnya parti Semangat 46 setelah pemimpinnya, Tengku Razaleigh kembali menyertai UMNO. Perkara yang sama turut membawa kepada pembubaran Gagasan Rakyat.[1][2]

Pada 24 Oktober 1999, menjelang pilihan raya, empat parti pembangkang terbesar, iaitu Parti Islam Se-Malaysia, Parti Tindakan Demokratik, Parti Rakyat Malaysia dan Parti Keadilan Rakyat yang baru ditubuhkan telah bersepakat untuk membentuk satu pakatan politik baharu yang digelar "Barisan Alternatif" dan melancarkan satu manifesto bersama.[3] Hal ini menjadi penubuhan gabungan parti pembangkang tunggal yang pertama dalam sejarah politik negara, bertujuan untuk mewujudkan sebuah sistem politik dwiparti dalam menentang keunggulan Barisan Nasional yang telah memerintah secara berterusan sejak kemerdekaan.

Walau bagaimanapun, ideologi-ideologi yang bertentangan antara parti-parti komponen Barisan Alternatif, khususnya antara PAS dan DAP, telah mengakibatkan pertikaian dalam Barisan Alternatif, lalu mengurangkan keberkesanan gabungan pembangkang ini. PAS sebagai parti yang paling dominan dalam gabungan ini, enggan untuk meninggalkan matlamat mereka secara terbuka dalam mendirikan sebuah negara Islamik. Hal ini menjadi satu ketakutan dan pendirian yang tidak disokong oleh majoriti penduduk bukan Islam, dan mungkin menjadi penyebab kepada kurangnya sokongan kelompok itu terhadap gabungan pembangkang ini.

Garis masa

[sunting | sunting sumber]

Pada 11 November 1999, Mahathir telah mengumumkan pembubaran rasmi Parlimen setelah mendapat perkenan dan ditandatangani Yang di-Pertuan Agong, Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah. Pembubaran ini dilaksanakan bagi memberi laluan kepada penganjuran pilihan raya. Beliau juga mengumumkan pembubaran Dewan Undangan Negeri di setiap negeri kecuali Sabah dan Sarawak pada hari yang sama.[4]

Pada 13 November, pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya, Omar Hashim telah mengumumkan tarikh-tarikh penting bagi pilihan raya ini. Hari penamaan calon telah ditetapkan pada 20 November. Hari pengundian pula ditetapkan pada 29 November bagi seluruh negara. Tempoh pengundian selama sehari sahaja ini merupakan pertama kali dalam sejarah politik negara, di mana kebiasaannya pengundian mengambil masa selama beberapa hari dalam pilihan raya sebelumnya. Pilihan raya ini juga buat pertama kalinya pengundian tidak diadakan pada hujung minggu. Tempoh berkempen pula ditetapkan selama lapan hari, yang dianggap pihak pembangkang sebagai sangat singkat.[5]

Hari Tarikh
Pembubaran Parlimen/DUN 11 November 1999
Pengeluaran Writ pilihan raya 13 November 1999
Hari penamaan calon 20 November 1999
Tempoh berkempen 20–28 November 1999
Hari mengundi 29 November 1999

Pencalonan

[sunting | sunting sumber]

Pada hari penamaan calon, gabungan kerajaan Barisan Nasional mendaftar calonnya di kesemua 193 kawasan Parlimen yang dipertandingkan. Gabungan itu dianggotai 12 parti komponen, dengan UMNO menjadi parti yang paling banyak menghantar calon. Seorang calon Barisan Nasional diisytihar menang tanpa bertanding di Betong, Sarawak. Presiden Barisan Nasional, Mahathir Mohamad bertanding di kubu kuatnya, Kubang Pasu dan ditentang calon PAS.[6] Kempen dan manifesto Barisan Nasional dalam pilihan raya ini telah dilancarkan oleh Mahathir selaku Presidennya, bertemakan "Bebas, Sepadu, Maju" dan menjanjikan kesinambungan kesejahteraan rakyat dalam pentadbirannya.[7][8]

Parti-parti pembangkang pula buat pertama kalinya bertanding sebagai sebuah pakatan politik tunggal bagi menghadapi pilihan raya ini. Pada 24 November, mereka telah mengumumkan pembentukan gabungan Barisan Alternatif dan melancarkan satu manifesto bersama dengan slogan "Ke Arah Malaysia yang Adil". Parti-parti komponen itu juga bersepakat untuk mengagihkan kerusi sesama anggota gabungan.[8][3] Gabungan yang dianggotai PAS, DAP, KeADILan dan PRM itu secara rasminya bertanding di 173 kawasan Parlimen. PAS menjadi parti komponennya yang paling ramai menghantar calon, iaitu seramai 63 orang. Presiden PAS, Fadzil Noor bertanding di Pendang. Sementara penubuh KeADILan Anwar Ibrahim yang pada mulanya dijangka bertanding, telah membatalkan hasrat itu pada saat akhir. Isterinya yang juga pengerusi KeADILan, Wan Azizah telah bertanding di kerusi suaminya, Permatang Pauh.[6]

Keputusan pilihan raya

[sunting | sunting sumber]

Lebih 6 juta pengundi atau 71 peratus daripada jumlah pengundi berdaftar telah mengundi dalam pilihan raya ini, menyaksikan Barisan Nasional dikembalikan untuk membentuk kerajaan Malaysia. Walaupun jumlah kerusi Parlimennya sebanyak 148 jatuh 8.6% berbanding 162 kerusi yang diperoleh pada tahun 1995, pencapaian gabungan itu masih jauh lebih tinggi berbanding 129 kerusi yang diperlukan untuk memperoleh satu majoriti dua pertiga. Selain itu, BN juga memenangi semua pilihan raya negeri, kecuali Kelantan dan Terengganu.

Parti Islam Se-Malaysia (PAS) mencapai prestasi yang amat baik. Selain daripada mengekalkan negeri Kelantan, parti ini juga berjaya mengambil alih kerajaan Terengganu daripada BN. Kekuatan PAS di Parlimen bertambah dari hanya tujuh kerusi pada tahun 1995 kepada 27 kerusi, iaitu satu peningkatan hampir empat kali ganda. Berdasarkan keputusan ini, PAS mengambil alih kepimpinan pembangkang dalam Parlimen yang dipegang oleh Lim Kit Siang daripada parti DAP.

Pilihan raya ini juga tidaklah begitu baik untuk parti DAP. Walaupun parti ini berjaya untuk mendapat lebihan satu kerusi berbanding sembilan kerusi pada tahun 1995, iaitu kenaikan sebanyak 11%, kedua-dua ahli kuatnya, iaitu Lim Kit Siang dan Karpal Singh ditewaskan. Pakatan DAP dengan PAS jelas telah menjejaskan parti ini sehingga mengalami kehilangan sokongan pengundi-pengundi bukan Melayu. Kemenangan lima kerusi Parlimen merupakan satu permulaan yang baik untuk Parti Keadilan, namun hampir semua pemimpinnya telah ditewaskan dalam pilihan raya ini, kecuali Wan Azizah. Ini merupakan satu tanda yang amat buruk untuk parti ini. Jika Parti Keadilan telah bertanding secara berasingan tanpa pakatan dengan PAS dalam Barisan Alternatif, keputusannya mungkin akan lebih teruk.

Majoriti undian Barisan Nasional yang amat dikurangkan serta pencapaian parti-parti pembangkang mungkin disebabkan oleh kesedaran yang lebih tinggi dalam kalangan pengundi terhadap keterlaluan BN. Walau bagaimanapun, kemenangan BN pada pilihan raya ini merupakan satu sokongan terhadap keutamaan pengundi untuk sebuah kerajaan yang kukuh, serta untuk kegigihan Mahathir Mohamad dalam menerajui politik Malaysia, termasuk caranya untuk menangani Krisis Kewangan Asia 1997.

BERJAYA
Parti atau gabunganUndi%Kerusi+/–
Barisan NasionalPertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu1,987,53929.8672–17
Persatuan Cina Malaysia932,87714.0128–2
Parti Gerakan Rakyat Malaysia211,8543.1870
Kongres India Malaysia171,7002.5870
Parti Rakyat Bersatu Sarawak129,3561.9470
Parti Pesaka Bumiputera Bersatu111,3891.6711+1
Parti Bansa Dayak Sarawak51,6590.786+1
Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu46,9130.703Baharu
Parti Maju Sabah46,7560.7020
Parti Kebangsaan Sarawak45,5190.684+1
Parti Liberal Demokratik12,9980.2010
Parti Bersatu Rakyat Sabah12,5330.1900
Jumlah3,761,09356.50148–14
Barisan AlternatifParti Islam Se-Malaysia996,71314.9727+20
Parti Tindakan Demokratik847,38812.7310+1
Parti Keadilan Rakyat767,95911.545Baharu
Parti Rakyat Malaysia69,0261.0400
Jumlah2,681,08640.2842+26
Parti Bersatu Sabah143,1442.153–5
Parti Reformasi Negeri23,2540.350Baharu
Parti Demokratik Malaysia8,0050.120Baharu
Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia4090.010
Angkatan Keadilan Insan Malaysia2740.0000
Bebas39,5600.5900
Jumlah6,656,825100.00193+1
Undi sah6,656,82596.72
Undi rosak/kosong225,9363.28
Jumlah undi6,882,761100.00
Pengundi berdaftar/keluar mengundi9,590,27471.77
Sumber: ElectionData.MY, Tindak Malaysia

Kesudahan

[sunting | sunting sumber]

Mahathir yang telah memegang jawatan Perdana Menteri sejak 1981, meneruskan perkhidmatannya itu buat penggal keenam. Beliau bersama dengan Timbalan Perdana Menteri, Abdullah Ahmad Badawi dan barisan Kabinet telah mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di Balairung Seri Istana Negara pada 14 Disember.[9]

Pada 20 Disember, Yang di-Pertua Dewan Rakyat telah melantik presiden PAS, Fadzil Noor sebagai ketua pembangkang setelah mendapat sokongan dari majoriti ahli pembangkang.[10]

Lihat juga

[sunting | sunting sumber]
  1. Taib, Harris Iskandar; Ismail, Manisah (1996-05-05). "APU does not exist, declare Razaleigh". New Straits Times (dalam bahasa Inggeris). m/s. 1.
  2. "S46-Dissolve: Parti Melayu Semangat '46 To Be Dissolved On Oct 6" (PDF). Bernama. 18 Ogos 1996 melalui Yayasan Kepimpinan Perdana.
  3. 1 2 "Opposition launches manifesto, PAS concedes Islamic state embition". New Straits Times. 25 Oktober 1999. Dicapai pada 10 Julai 2026 melalui Google Books.
  4. "Parlimen dibubar secara rasmi". Berita Harian. 12 November 1999 melalui NewspaperSG.
  5. "Pilihan raya Malaysia ditetapkan 29 November". Berita Harian. 13 November 1999 melalui NewspaperSG.
  6. 1 2 "BN ditentang di hampir semua kawasan". Berita Harian. 21 November 1999. Dicapai pada 10 Julai 2026 melalui NewspaperSG.
  7. "Sunday launch for coalition's manifesto". The Straits Times. 20 November 1999. Dicapai pada 10 Julai 2026 melalui NewspaperSG.
  8. 1 2 Sulaiman, Jeman (24 November 1999). "Kian hari, kempen kian sengit". Berita Harian. Dicapai pada 10 Julai 2026 melalui NewspaperSG.
  9. "Dr. M ketuai kabinet angkat sumpah" (PDF). Utusan Malaysia. 14 Disember 1999 melalui Yayasan Kepimpinan Perdana.
  10. "Penyata Rasmi Parlimen - Dewan Rakyat, Parlimen Kesepuluh, Penggal Pertama, Mesyuarat Pertama" (PDF). Cawangan Dokumentasi Parlimen Malaysia. 1999.

Bacaan tambahan

[sunting | sunting sumber]
  • Chin, James (2000). "A New Balance: The Chinese Vote in the 1999 Malaysian General Election" (Keimbangan Baru: Undi Cina dalam Pilihan Raya Umum Malaysia 1999). Penyelidikan Asia Tenggara 8 (3), 281299.

Pautan luar

[sunting | sunting sumber]


Didahului oleh:
1995
Pilihan raya umum Malaysia
1999
Diikuti oleh:
2004