close
Pergi ke kandungan

Heliosentrisme

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
BERJAYA
Ilustrasi Andreas Cellarius tentang sistem Copernicus, dari Harmonia Macrocosmica

Heliosentrisme[a] (juga dikenali sebagai model heliosentrik) merupakan model astronomi gantian melibatkan Bumi dan semua planet lain berorbit mengelilingi Matahari yang merupakan pusat alam semesta. Dari segi sejarah, heliosentrisme bertentangan dengan geosentrisme, yang meletakkan Bumi di tengah. Tanggapan bahawa Bumi berputar mengelilingi Matahari telah dicadangkan seawal abad ke-3 SM oleh Aristarchus dari Samos,[1] yang telah dipengaruhi oleh konsep yang dikemukakan oleh Philolaus dari Croton (c. 470 – 385 SM). Pada abad ke-5 SM, ahli falsafah Yunani Philolaus dan Hicetas mempunyai pemikiran pada masa yang berbeza bahawa Bumi berbentuk sfera dan berputar mengelilingi api pusat "mistik", dan bahawa api ini mengawal alam semesta.[2] Pada zaman pertengahan Eropah, walau bagaimanapun, heliosentrisme Aristarchus tidak menarik perhatian, mungkin disebabkan oleh kehilangan karya saintifik pada zaman Helenistik.[b]

Hanya pada abad ke-16, model matematik sistem heliosentrik telah dibentangkan pada zaman Renaissance oleh ahli matematik, ahli astronomi, dan ulama Katolik, Nicolaus Copernicus, yang membawa kepada Revolusi Copernicus. Pada tahun 1576, Thomas Digges menerbitkan sistem Copernicus yang diubah suai. Pengubahsuaiannya menghampiri pemerhatian moden. Pada abad berikutnya, Johannes Kepler memperkenalkan orbit elips, dan Galileo Galilei mempersembahkan pemerhatian sokongan yang dibuat menggunakan teleskop.

Dengan pemerhatian William Herschel, Friedrich Bessel, dan ahli astronomi lain, telah disedari bahawa walaupun Matahari berhampiran dengan pusat bari Sistem Suria, tetapi ia bukanlah pusat alam semesta. Astronomi moden tidak menemui mahupun menetapkan mana-mana pusat alam semesta.

  1. Perkataan "Heliosentrisme" ini dipinjam daripada perkataan bahasa Inggeris "Heliocentrism". Sama ada huruf besar atau tidak terpulang kerana kedua-dua bentuk Heliocentrism atau heliocentrism boleh diterima menurut The Shorter Oxford English Dictionary (6th ed., 2007). Istilah itu merupakan bentuk terbitan terpelajar berdasarkan perkataan bahasa Yunani Kuno Helios (ἥλιος) "Matahari" dan kentron (κέντρον) "pusat"; bentuk kata sifatnya heliocentric direkodkan buat pertama kalinya dalam bahasa Inggeris (sebagai heliocentrick) pada 1685, mengikut bahasa Neo-Latin heliocentricus yang turut digunakan sejak masa yang sama (seperti pada karya Johann Jakob Zimmermann Prodromus biceps cono ellipticæ et a priori demonstratæ planetarum theorices, 1679).
    Kata nama abstrak dengan akhiran -isme adalah lebih terkini, yang direkodkan sejak akhir abad ke-19 (contoh dalam karya Constance Naden Induction and Deduction: A Historical and Critical Sketch of Successive Philosophical Conceptions Respecting the Relations Between Inductive and Deductive Thought and Other Essays"), yang dimodelkan berdasarkan perkataan bahasa Jerman Heliocentrismus atau Heliozentrismus (s.1870).
  2. Menurut Lucio Russo, pandangan heliosentrik telah dijelaskan dalam karya Hipparchus berkaitan graviti.[3]
  1. Dreyer 1953, halaman 135–148; Linton 2004, halaman 38f.. The work of Aristarchus in which he proposed his heliocentric system has not survived. We only know of it now from a brief passage in Archimedes' The Sand Reckoner.
  2. Heliocentrism di Encyclopædia Britannica
  3. Russo, Lucio (2003). The Forgotten Revolution: How Science Was Born in 300 BC and Why it Had to Be Reborn. Diterjemahkan oleh Levy, Silvio. Springer Berlin Heidelberg. m/s. 293–296. ISBN 978-3-540-20068-0.

Pautan luar

[sunting | sunting sumber]