Domain Saga
| Domain Saga 佐賀藩 | |
|---|---|
| Domain Jepun | |
| 1590–1871 | |
Sisa gerbang Istana Saga | |
| Ibu kota | Istana Saga |
| Sejarah | |
| Kerajaan | |
| • Jenis | Daimyō |
| Daimyō | |
• 1607-1657 | Nabeshima Katsushige (pertama) |
• 1861-1871 | Nabeshima Naohiro (Saga) (terakhir) |
| Era bersejarah | Zaman Edo |
• Ditubuhkan | 1590 |
• Dibubarkan | 1871 |
| Hari ini sebahagian daripada | Wilayah Saga |
Domain Saga (佐賀藩, Saga-han) merupakan sebuah domain Jepun pada zaman Edo di bawah pemerintahan Keshogunan Tokugawa. Ia meliputi kebanyakan kawasan yang kini dikenali sebagai Wilayah Saga dan Nagasaki, dan diperintah dari Istana Saga yang terletak di pusat bandar Saga hari ini. Sepanjang sejarahnya, domain ini diperintah oleh puak daimyō tozama, iaitu puak Nabeshima. Domain ini juga dikenali sebagai Domain Hizen (肥前藩) sempena lokasinya di Wilayah Hizen, atau Domain Nabeshima (鍋島藩) sempena nama puak pemerintahnya. Domain ini memainkan peranan penting dalam Pemulihan Meiji.[1][2][3]
Walaupun pusat perdagangan Belanda dan China di Nagasaki diawasi secara langsung oleh pegawai Keshogunan Tokugawa, domain ini bertanggungjawab besar terhadap pertahanan ketenteraan bandar dan pelabuhan tersebut.[4][5][6]
Sejarah
[sunting | sunting sumber]Puak Nabeshima pada asalnya ialah pengikut kepada puak Ryūzōji yang menguasai utara Kyushu pada zaman Muromachi. Bagaimanapun, pemimpin Ryūzōji, iaitu Ryūzōji Takanobu terbunuh dalam Pertempuran Okitanawate pada tahun 1584. Selepas itu, Nabeshima Naoshige menjadi penjaga kepada waris muda Ryūzōji, iaitu Takafusa. Menjelang enam tahun kemudian, Toyotomi Hideyoshi memberi keizinan kepada Nabeshima untuk menjatuhkan puak Ryūzōji dan mengambil alih wilayah tersebut. Nabeshima menyokong kempen Hideyoshi ke Korea dan bertempur menentang Tokugawa dalam Pertempuran Sekigahara (1600). Bagaimanapunsemasa pertempuran itu, beliau berpaling tadah dan menangkap jeneral pihak Barat, Tachibana Muneshige, lalu mendapat kepercayaan Tokugawa Ieyasu dan dibenarkan mengekalkan wilayahnya.
Pada zaman Edo, puak Nabeshima diberi hasil tanah sebanyak 357,000 koku. Keshogunan Tokugawa membenarkan mereka menggunakan nama keluarga "Matsudaira" dan satu aksara kanji daripada nama shogun. Kedudukan wilayah Saga yang dekat dengan Korea dan Nagasaki membawa banyak pengaruh luar. Kawasan ini terkenal dengan pengeluaran seramik, khususnya tembikar Imari yang dieksport ke Eropah. Walaupun nilai rasmi wilayah ialah 357,000 koku, pendapatan sebenar daimyō hanya sekitar 60,000 koku kerana Nabeshima membahagikan wilayah kepada beberapa subdomain seperti Hasunoike, Ogi dan Kashima untuk menjamin pewarisan.
Sisa-sisa puak Ryūzōji kadang kala masih muncul dan mencabar kekuasaan Nabeshima, tetapi usaha mereka untuk memulihkan status sebagai domain bebas ditolak oleh shogun. Wilayah ini juga mempunyai ramai penganut Kristian (Kirishitan) yang terlibat dalam Pemberontakan Shimabara (1637–1638).
Disebabkan kedudukannya dekat dengan Nagasaki, Keshogunan Tokugawa memerintahkan Domain Saga bergilir-gilir menjaga keselamatan Nagasaki bersama Domain Fukuoka. Sebagai balasan, kewajipan untuk hadir ke Edo dikurangkan. Bagaimanapun, pada 1808 berlaku Insiden Phaeton apabila kapal British menyerbu Nagasaki. Saga hanya menghantar 100 samurai, bukannya 1,000 seperti yang diwajibkan, menyebabkan shogun terpaksa tunduk kepada tuntutan British dan memarahi Saga. Keadaan domain bertambah buruk selepas Taufan Siebold 1828 yang mengorbankan hampir 10,000 nyawa dan menyebabkan kewangan domain hampir runtuh.
Pemodenan dan pengakhiran
[sunting | sunting sumber]Daimyō Saga ke-10, Nabeshima Naomasa (Kansō) melawat kapal perang Belanda, Palembang dan menyedari keperluan teknologi ketenteraan Barat, setelah mendapat maklumat tentang Perang Candu di China.[7] Beliau memutuskan untuk mereformasi pentadbiran domain dan mengguna pakai teknologi Barat. Beliau menyusun semula pentadbiran secara besar-besaran dengan mengurangkan jumlah pegawai hampir dua perlima, melindungi dan memajukan golongan petani, serta membangunkan industri seperti tembikar, teh dan arang batu. Usaha ini meningkatkan kewangan domain dan menjadikan Saga antara wilayah paling moden pada masa itu.
Naomasa juga menubuhkan institusi penyelidikan teknologi Barat seperti penapisan keluli, enjin kuasa wap dan meriam. Saga membina kilang penapisan besi pertama Jepun pada 1849 dan menggunakan relau gema pada 1852.[8] Pada 1853, Laksamana Rusia Yevfimiy Putyatin memperkenalkan lokomotif wap di Nagasaki, mendorong jurutera Jepun seperti Ishiguro Hirotsugu dan Tanaka Hisashige mencuba membina sendiri lokomotif dan kapal wap.
Apabila shogun melonggarkan larangan pembinaan kapal besar, Saga memesan kapal dari Belanda dan melancarkan kapal wap Jepun pertama, Ryōfūmaru. Pusat Latihan Tentera Laut Nagasaki ditubuhkan pada 1855, diikuti dengan Limbungan Mietsu pada 1858. Menjelang 1866, penggunaan meriam British Armstrong menjadikan armada Saga sebagai tentera laut moden pertama Jepun. Saga juga mempamerkan hasilnya di Pameran Dunia Paris 1867.
Walaupun Saga pada awalnya berkecuali dalam politik, pada akhir 1867 ia menyokong Tosa, Satsuma dan Chōshū menentang shogun. Dalam Perang Boshin, samurai Saga mengetuai pasukan di laluan Hokuriku dan bertempur dalam Pertempuran Ueno. Selepas kemenangan pihak Meiji, ramai tokoh penting kerajaan baharu datang dari Saga seperti Etō Shinpei dan Ōkuma Shigenobu.
Pada 1871, sistem domain feudal dimansuhkan. Puak Nabeshima diberi gelaran bangsawan “marquis”, dan wilayah Saga dibahagikan menjadi Wilayah Saga dan Nagasaki. Bagaimanapun, bekas samurai yang kecewa dengan kehilangan status dan elaun melancarkan Pemberontakan Saga pada 1874, tetapi ia berjaya dipatahkan dengan cepat.
Senarai daimyō
[sunting | sunting sumber]Nama Tempoh Gelaran kehormat Kokudaka
Puak Ryūzōji, 1590 - 1607 (Tozama daimyo)1 Ryūzōji Takafusa (龍造寺高房) 1590 - 1607 Suruga no kami (駿河守 357,000 koku
Puak Nabeshima, 1609 - 1871 (Tozama daimyo)1 Nabeshima Katsushige (鍋島 勝茂) 1607 - 1657 Shinano no kami (信濃守) 357,000 koku 2 Nabeshima Mitsushige (鍋島 光茂) 1657 - 1695 Tango no kami (丹後守) 357,000 koku 3 Nabeshima Tsunashige (鍋島 綱茂) 1695 - 1706 Shinano no kami (信濃守) 357,000 koku 4 Nabeshima Yoshishige (鍋島 吉茂) 1707 - 1730 Tango no kami (丹後守) 357,000 koku 5 Nabeshima Muneshige (鍋島 宗茂) 1730 - 1738 Shinano no kami, Hida no kami (信濃守、飛騨守) 357,000 koku 6 Nabeshima Munenori (鍋島 宗教) 1730 - 1760 Tango no kami (丹後守) 357,000 koku 7 Nabeshima Shigemochi (鍋島 重茂) 1760 - 1770 Shinano no kami (信濃守) 357,000 koku 8 Nabeshima Harushige (鍋島 治茂) 1770 – 1805 Hizen no kami, Sakone no no shosho (肥前守 左近衛少将) 357,000 koku 9 Nabeshima Narinao (鍋島 斉直) 1805 – 1830 Hizen no kami (肥前守) 357,000 koku 10 Nabeshima Naomasa (鍋島 直正) 1830 – 1861 Hizen no kami (肥前守) 357,000 koku 11 Nabeshima Naohiro (鍋島 直大), 1861 – 1871 Shinano no kami, Hizen no kami (信濃守、肥前守) 357,000 koku
Tokoh terkenal
[sunting | sunting sumber]- Tanaka Hisashige (田中 久重)
- Renya Mutaguchi (牟田口廉也)
- Ōkuma Shigenobu (大隈 重信)
- Etō Shinpei (江藤 新平)
- Ōki Takatō (大木 喬任)
- Sano Tsunetami (佐野 常民)
- Shima Yoshitake (島 義勇)
Catatan
[sunting | sunting sumber]- ↑ Nakayama, Yoshiaki (2015). 江戸三百藩大全 全藩藩主変遷表付. Kosaido Publishing. ISBN 978-4331802946.(dalam bahasa Jepun)
- ↑ Nigi, Kenichi (2004). 藩と城下町の事典―国別. Tokyodo Printing. ISBN 978-4490106510.
- ↑ Papinot, E (1910). Historical and Geographic Dictionary of Japan. Tuttle (reprint) 1972.
- ↑ Tsunetomo, Yamamoto (2014-05-27). Hagakure: The Secret Wisdom of the Samurai (dalam bahasa Inggeris). Tuttle Publishing. ISBN 978-1-4629-1425-8.
- ↑ Gow, I.; Hirama, Y.; Chapman, J. (2003-02-04). The Military Dimension: Volume III: The Military Dimension (dalam bahasa Inggeris). Springer. ISBN 978-0-230-37887-2.
- ↑ Lewis, James B. (2014-12-05). The East Asian War, 1592-1598: International Relations, Violence and Memory (dalam bahasa Inggeris). Routledge. ISBN 978-1-317-66274-7.
- ↑ "Tsuji Reverberatory Furnace Site". Saga City.
- ↑ Picture of Saga Domain Seirenkata. Saga Musium.
Pautan luar
[sunting | sunting sumber]
Kategori berkaitan Saga Domain di Wikimedia Commons
